KAPIT: Seramai 27 orang bayi yang direkodkan lahir di Kapit bermula 1 Januari 2019 menerima Endowment Fund Sarawak (EFS) di sini hari ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak, YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah berkata, jumlah keseluruhan pendaftaran EFS setakat 31 Mac 2019 di bahagian ini pula adalah seramai 46 orang bayi.

“Statistik pendaftaran anak kelahiran Sarawak di Kapit setakat Mac 2019 adalah seramai 168 orang, namun hanya 46 bayi telah mendaftar EFS.

“Ini menunjukkan seramai 122 orang bayi di Kapit bersamaan 72.62 peratus belum lagi mendaftar EFS,” katanya semasa berucap di Majlis Penyerahan Endowment Fund Sarawak Bahagian Kapit, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah Abdullah menggalakkan si ibu yang melahirkan anak mereka sejak awal tahun ini untuk mendaftar EFS kerana sumbangan tersebut adalah sebagai simpanan untuk tujuan pendidikan dan masa depan anak mereka kelak.

Jelas beliau, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Sarawak untuk menentukan masa depan modal insan di negeri ini.

“Menerusi inisiatif ini, setiap anak warganegara Malaysia, pemegang MyKad berstatus “K”, yang lahir di dalam atau di luar Sarawak layak mendapat EFS tanpa mengira bangsa, agama atau status sosio-ekonomi,” katanya.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah, Menteri Muda Undang-undang Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, YB Hajah Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Ahli Parlimen P.216 Hulu Rajang, YB Datuk Wilson Uggak Kumbong, ADUN N.61 Pelagus, YB Wilson Nyabong Ijang, ADUN N.62 Katibas, YB Datuk Ambrose Blikau Enturan, ADUN N.63 Bukit Goram, YB Jefferson Jamit Ijang dan ADUN N.66 Murun, YB Kennedy Chukpai Ugon.

Selain di Bahagian Kapit, majlis yang sama juga akan diadakan Kuching, Sri Aman, Mukah, Lawas, Bau, Simunjan, Betong, Dalat, dan Serian. -Edisi UKAS