KUCHING: Hak-hak Negeri Sarawak merupakan kewajipan yang sedia ada termaktub dibawah Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian apa yang telah tercatit di dalamnya adalah undang-undang yang teragung dan tidak boleh dipertikaikan sama sekali.

Menurut Menteri Muda Undang-Undang Persekutuan dan Pemantauan Projek, Hajjah Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, usaha untuk mengembalikan hak-hak Sarawak yang telah terhakis memerlukan sokongan dan dorongan oleh semua pihak.

Jelasnya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang berpegang teguh dengan motto “Sarawak First” akan sentiasa memperjuangkan usaha kerana rakyatlah penentu masa depan Sarawak dan pewaris generasi yang akan datang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Rasmi Komuniti Kejiranan Mesra sekaligus merasmikan Pelancaran GPS di Samariang Batu, hari ini.

Dalam pada itu katanya, Sarawak tidak mahu di kawal oleh orang luar kerana Sarawak mampu berdiri di atas kaki sendiri dan mempunyai ketegasan dalam bersuara demi mempertahankan hak-hak tersebut.

Pada persidangan Parlimen sebelum ini jelasnya, pihak dari Sarawak menolak Pindaan Perkara 1(2) kerana tidak menepati syarat-syarat yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63).

Ujarnya, pindaan yang dibuat haruslah sama rata dan setaraf dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.