MIRI: Kerajaan Negeri Sarawak akan merangka satu penyelesaian jangka panjang baharu bagi mengatasi masalah pembakaran terbuka di negeri ini, terutamanya Bandaraya Miri dengan musim panas dan kering dijangka berpanjangan sehingga September tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata antara strategi baharu yang dipertimbangkan ialah menggunakan lebih banyak dron untuk memantau kawasan yang mudah terjejas kepada pembakaran terbuka dan menggali lebih banyak telaga tiub di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan sedemikian.

“Ada kawasan yang berlaku pembakaran terbuka tidak boleh dimasuki dan kami akan menjadikannya mudah dimasuki, kami (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak) akan bermesyuarat di Kuching untuk membincangkan penyelesaian jangka panjang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat keadaan pembakaran terbuka di Bandaraya Miri oleh wakil jabatan kerajaan pusat dan negeri di Menara Tinjau Tudan di sini hari ini.

Uggah yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata satu dana segera berjumlah RM651,000 telah diluluskan oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan tindakan segera bagi mengawal pembakaran terbuka di Miri.

Beliau juga mahukan penguatkuasaan aktiviti pembakaran terbuka ditingkatkan dengan menambah pemantauan di kawasan berkenaan bagi mengenal pasti titik panas pembakaran terbuka.

Taklimat pada hari ini disampaikan oleh pegawai daripada Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.– BERNAMA