KUCHING: Bidang pendidikan sememangnya penting untuk memberi impak yang besar terhadap apa juga peluang dalam kehidupan khususnya dalam bidang pekerjaan selain menjamin kestabilan seseorang individu tersebut.

Menteri Muda Elektrik Luar Bandar, Dato Dr Haji Abdul Rahman Junaidi berkata, ini merupakan pengiktirafan buat pelajar dan warga pendidik kerana bersama-sama mencorak dan menghasilkan kejayaan dalam bidang pembelajaran.

Beliau yang juga ADUN Pantai Damai menambah, sesungguhnya kejayaan yang ditempa oleh anak didik ini merupakan satu kebanggaan buat warga pendidik serta ibu bapa yang selama ini telah bertungkus lumus membesarkan serta berusaha untuk memajukan anak-anak dalam bidang pendidikan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pendidikan Cemerlang 2019, di Dewan Jamilah, Yayasan Sarawak hari ini.

Ujarnya lagi, apa yang diharapkan oleh ibu bapa selama ini telahpun menjadi kenyataan atas setiap ilmu yang dicurahkan oleh warga pendidik bagi memastikan bahawa anak-anak ataupun pelajar memperoleh kejayaan.

Dalam pada itu beliau juga percaya anugerah seperti ini akan memberi galakan dan semangat kepada pelajar lain untuk terus berlumba-lumba meningkatkan pencapaian mereka.

Selain dari guru, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting. Ini dapat dibuktikan kerana anjakan paradigma telahpun berlaku dari semasa ke semasa di mana walaupun secara amnya guru telahpun diberi amanah serta kepercayaan untuk mendidik anak bangsa namun ibu bapa juga telah berjaya membentuk jasmani anak-anak.

Justeru, pendekatan ini perlu dilakukan secara bersepadu ataupun dalam erti kata lain pengiktirafan ini perlu diteruskan secara keseluruhan agar semua pihak dapat menjiwai tanggungjawab tersebut dan memberi sokongan padu sepanjang masa.