KUCHING: Tidak mengenal erti penat dan lelah malah sentiasa berusaha untuk menjaga kebajikan anak-anak. Itulah insan yang bergelar seorang ibu yang mana mereka ini menggalas pelbagai jenis tanggungjawab demi membesarkan anak-anak.

Menteri Muda Undang-Undang merangkap Hubungan Persekutuan dan Pemantauan Projek Hajjah Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dalam ucapannya berkata, keunikan yang ada pada golongan ini merupakan satu anugerah bukan sahaja boleh bekerjaya malah menjadi tulang belakang dalam memastikan anak-anak mereka berjaya dalam apa jua bidang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi Tea Sambutan Hari Ibu 2019 di Kuching hari ini.

Dalam perkara yang sama tambahnya, hal ini dapat dilihat pada Pengerusi Persatuan Masakan Kuih Muih Sarawak`itu sendiri kerana begitu aktif dalam membantu masyarakat terutamanya golongan fakir miskin dan ibu tunggal selain menjalankan perniagaan dan mengurus rumah tangga.

Dengan kerjasama Jabatan Wanita Dan Keluarga Sarawak (DVBS) seramai 400 orang golongan ibu dari seluruh Sarawak telah hadir bagi memeriahkan lagi majlis sambutan berikut sekaligus memperingati golongan ini dan menghargai pengorbanan mereka sebagai seorang ibu dan juga wanita yang berjaya.