Saturday, August 20, 2022

Pembangunan tanpa perlu retorik ‘Anti- Malaya’

Secara Rawak

Dakyah-dakyah segelintir pihak yang menggunakan retorik ‘anti-Malaya’ untuk mendapat pengaruh dan populariti perlulah dihindari bagi membina sebuah negara bangsa yang stabil. Kadang kala pemikiran sebegini membelenggu mereka cuba didakyahkan kepada ahli masyarakat.

Pemikiran ini dianggap pemikiran yang melampau atau ekstrem malah sempit kerana tidak sejajar dengan konsep persekutuan yang telah dibina sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Fantasi-fantasi kadang kala seronok didengar namun sekadar retorik dan bertujuan meraih sokongan.

Hal ini sebenarnya tidaklah mencerminkan aspirasi rakyat Sarawak sebenar yang cintakan kedamaian dan mahukan konsep persekutuan diperkukuh dengan membaiki kelemahan-kelemahan yang ada melalu perundingan dan jalan diplomasi politik dan kebudayaan.

Fokus pembangunan sebenar seperti ekonomi, sosial termasuk kemudahan awam dan pembangunan perlu diutamakan untuk mencapai status negara maju 2020. Program komuniti dan pembangunan setempat, memberikan pemahaman idea demokrasi dan politik pembangunan lebih wajar diterapkan kepada rakyat agar faham perlunya pembangunan yang lebih menyeluruh..

Kita perlu sedar sentimen anti Malaya merupakan perbuatan yang boleh mencabar perpaduan rakyat yang sudah terbina sekian lama. Kelompok ini juga berfikiran dangkal, kurang memahami sejarah pembentukan Malaysia dan dasar-dasar pembangunan yang telah dilaksanakan.

Gambar hiasan

Realiti Semasa

Sebenarnya majoriti penduduk Sarawak tidak mempunyai unsur-unsur anti Malaya sentimen. Ramai sanak-saudara dan teman-teman mereka bekerja di Semenanjung Malaysia. Malah ramai juga sudah berkahwin campur dengan penduduk di negeri-negeri Semenanjung. Konsep saudara serumpun masih lagi kuat dalam kalangan penduduk di alam nusantara ini.

Sekiranya sentimen ‘Sarawak untuk Sarawak’ digemakan, bayangkanlah kalau sentimen ini berlaku di Selangor dan Kuala Lumpur! KLIA, KLCC, Jalan TAR, Putrajaya sukar dijejaki oleh anak-anak Sabah dan Sarawak. Sedangkan ramai anak Sarawak menyumbang di negara ini. Idris Jala anak Kelabit pernah mengharumkan negara berperanan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) dan sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia.

Begitu juga, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka yang baharu ialah Datuk Haji Abang Sallehuddin Abang Shokeran merupakan anak Sarawak yang mencipta nama di Semenanjung Malaysia dalam mengurus salah satu agensi kerajaan. Datuk Sulaiman Wak juga merupakan anak Sarawak mencapai tahap tinggi di Kementerian Pendidikan negara apabila dilantik sebagai Timbakan ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Ini pencapaian yang membanggakan kepada anak Sarawak. Daripada anak kampung mereka menjadi birokrat negara.

Selain itu, ramai juga anak Sarawak menjadi ahli akademik yang berjaya di universiti terkemuka tempatan seperti di Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia. Kesemua mereka ini naik tanpa tongkat politik, sebaliknya berdasarkan meritokrasi masing-masing.

Kehendak Sebenar

Yang berlaku kini sebenarnya bukanlah rakyat menolak atau anti Semenanjung akan tetapi mereka cuba mendapatkan hak-hak mereka mengenai yang seolah-olah kurang mendapat perhatian khususnya isu perjanjiaan MA63 yang berkaitan isu minyak dan gas sarawak serta hak-hak yang lain.

Kebangkitan ini mula timbul ketika BN dilihat mulai lemah cengkaman terhadap Sarawak dan Sabah. Ini diambil peluang oleh ahli politik sarawak dan dimulai oleh Adenan Satem yang baru mengambil alih daripada Tun Abdul Taib Mahmud yang sudah 33 tahun menjadi ketua menteri sarawak.

Sudah pasti, Adenan Satem ketika itu mahukan mandat dan populariti yang tinggi dalam kemenangan pertama beliau sebagai peneraju politik Sarawak yang bernaung di bawah Barisan Nasional.

Maka, Adenan menggunakan politik etnonasionalisme berkenaan hak-hak sarawak isu ini berjaya menarik perhatian rakyat sarawak yang masih lagi belum membangun pesat seperti Selangor dan Pulau Pinang,

Langkah ini menyebabkan kemenangan besar Sarawak dalam pilihan raya negeri Sarawak. Selepas era Adenan, Ketua Menteri Sarawak baharu Abang Johari yang mengambil alih meneruskan penggunakan formula tersebut, iaitu meneruskan dasar-dasar politik etnonasionalisme dan perjuangan mendapat hak-hak yang terhakis dalam isu perjanjian Malaysia 1963 dan OMO 1958.

Daripada BN ke GPS

Apabila BN Sarawak keluar dan menjenamakan semula gabungan sebagai Gabungan Parti Sarawak kerana mereka juga perlu pakatan politik yang lebih bersifat tempatan untuk disesuaikan dengan sentimen yang mereka konstruksikan tersebut.

Maka GPS perlu politik penjenamaan dan isu MA63 dan isu politik bersifat tempatan ialah politik jenama GPS untuk meraih sokongan rakyat Sarawak. Namun, tidak timbul soal pembahagian Malaya dan Sarawak. Kerajaan negeri Sarawak tetap menyokong penuh sistem dan konsep Malaysia sebagai negara persekutuan yang selama ini tidak dinafikan sumbangan persekutuan terhadap Sabah dan Sarawak.

Yang diperlukan ialah membaiki jentera parti, pendekatan dan kaedah pelaksanaan serta cara rundingan yang dibuat untuk hasil yang terbaik untuk pembangunan negeri Sarawak. Mereka ini perlu menilai keberkesanan pendekatan mereka selama ini. Hakikatnya, cuma segelintir yang kurang faham dan cuba memainkan sentimen anti Malaya atau Semenanjung di Sarawak namun tidak mewakili keseluruhan dan majoriti rakyat Sarawak sebenar.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru