KUCHING: Pengerusi Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI), Yang Amat Berbahagia Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang telah merasmikan Pusat Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kampung Buntal di sini hari ini.

Berucap dalam majlis berkenaan, Menteri Muda Utiliti Sarawak (Bekalan Elektrik) merangkap ADUN N4 Pantai Damai, YB Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, PDK Kampung Buntal itu amat penting bagi membantu orang kurang upaya (OKU) hidup berdikari dan diintegrasikan dalam pusat tersebut.

Jelasnya, menerusi PDK berkenaan, ia mampu memberi manfaat kepada golongan OKU di tujuh buah kampung di sekitar Kampung Buntal.

“Sejarah pembinaan PDK ini memakan masa yang agak panjang, sebelum ini PDK ini hanya menyewa, namun kemudahan di rumah sewa tidak sesuai dengan kegunaan OKU.

“Maka, bermula suku tahun kedua 2018, kita telah menggunakan dana Program Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk membina sebuah PDK atas sokongan dan kelulusan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi   Abang Haji Abdul Rahman Johari Tun Datuk Abang Haji Openg,” katanya dalam Majlis Perasmian PDK Kampung Buntal di sini hari ini.

Datuk Dr Abdul Rahman menambah, beliau juga berharap lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil ke hadapan bagi membantu para pelatih PDK.

“Sokongan daripada masyarakat umum juga penting bagi memastikan golongan OKU mendapat perhatian.

“Kesedaran serta keprihatinan daripada masyarakat kepada golongan OKU amat dihargai,” katanya.