Tuesday, June 28, 2022

10 pekerja asing ditahan, premis makanan di Jalan Haji Taha diarah tutup kerana kotor

Secara Rawak

KUCHING: Kerana tidak mematuhi piawaian kebersihan serta mengupah pekerja asing tanpa permit, sebuah restoran diarah tutup pada Jumaat, minggu lalu.

Arahan dikeluarkan susulan serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Haji Taha, di sini dalam operasi bersepadu Bahagian Pelesenan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak (JIMS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut sumber penguat kuasa DBKU, seramai 10 pekerja asing ditahan untuk siasatan lanjut susulan kesalahan tidak memiliki dokumen permit kerja yang sah.

“Premis makanan pula diarah tutup selepas melanggar Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana tidak mencapai tahap kebersihan minimum premis makanan.

“Ia juga didapati tidak memiliki Lesen Premis Makanan daripada DBKU.

Operasi tersebut katanya, dijalankan bagi mengesan salah laku premis-premis makanan khasnya di sekitar kawasan DBKU.

“Operasi bermula pada jam 8.00 malam dan berakhir sekitar jam 10.00 malam turut memeriksa dua premis makanan lain dan beberapa notis arahan telah dikeluarkan.

Pihak DBKU katanya, memandang serius perkara ini dan berharap mana-mana pemilik premis yang menggunakan khidmat pekerja asing agar memastikan mereka mempunyai permit kerja yang sah.

“Selain itu, hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat segelintir premis makanan yang masih mengabaikan tahap kebersihan di premis masing-masing.

“Pemilik premis adalah diingatkan untuk mendapatkan lesen sebelum beroperasi dan sentiasa menjaga kebersihan premis, sambil pengendali makanan mengikuti Kursus Latihan Pengendali Makanan di sekolah latihan yang diiktiraf KKM,.

“Majikan juga perlu memastikan mereka mendapatkan suntikan vaksin (pelalian anti-Tifoid) daripada pengamal perubatan berdaftar.

“Kegagalan mematuhi keperluan akan menyebabkan tindakan diambil ke atas pemilik premis.

Operasi Bersepadu ini katanya, akan diadakan secara berterusan dalam usaha menjadikan Kuching sebuah bandar raya yang cantik, bersih dan selamat.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru