KUCHING: Pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Posa menyimpan hasrat untuk melahirkan ramai pemain asal Sarawak yang akan menyarung jersi negara.

Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) itu tanpa berselindung memberitahu sebuah blog sukan tempatan, dia mahu menyaksikan penampilan lebih ramai anak Sarawak dalam skuad Harimau Malaya.

“Saya yakin akan keupayaan dan potensi besar anak-anak muda Sarawak.

“Malah saya ingin lebih ramai pemain-pemain daripada pelbagai etnik kaum; antaranya Iban, Bidayuh dan Orang Ulu diberikan perhatian untuk tujuan ini.

Katanya, Sarawak memiliki kelompok besar bagi pembangunan di peringkat akar umbi.

“Sudah pasti impian saya sebagai Presiden FAS adalah mahu melihat lebih ramai orang Sarawak menyarung jersi kebangsaan.

“Itu peringkat tertinggi buat pemain profesional negara.

FAS tegasnya, memiliki beberapa program jangka pendek dan panjang.

“Salah satu program kami adalah untuk mengumpul semua pemain muda berpotensi dari seluruh kaum di Sarawak di bawah teraju Sekolah Sukan Sarawak.

“Saya lihat anak-anak Sarawak ini sebenarnya memiliki potensi cukup besar dan berbakat.

Justeru itu katanya, beliau percaya impiannya untuk melihat anak dari kaum Iban, Bidayuh atau Orang Ulu dapat bermain bersama skuad Harimau Malaya bukan satu angan-angan sahaja.

“Berbekalkan program pembangunan FAS serta komitmen tinggi pemain-pemain muda Sarawak sendiri, saya mahu mereka mengikuti jejak langkah beberapa bekas pemain antaranya Joseph Kallang Tie yang sebelum ini menyinar bersama kelab dan pasukan kebangsaan,” katanya.

Posa berkata, FAS sedang berusaha keras untuk memperkasa program pembangunan akar umbi dalam usaha meluaskan lagi usaha pencarian pemain-pemain muda berpotensi.

“Seperti saya katakan tadi, kita sedang berusaha keras untuk mencari pemain-pemain muda berbakat.

“FAS sedang melaksanakan program itu dan kami sedang memperluas kawasan hingga ke kampung pendalaman.

Sarawak katanya, adalah satu negeri yang begitu luas dan keluasannya sama seperti Semananjung Malaysia.

“Jadi, proses itu akan mengambil sedikit masa tetapi ia tidak sesekali membuat FAS patah semangat untuk mengintai lagi pemain-pemain muda tempatan yang berpotensi tinggi,” ujarnya.