Sepasang kekasih – wanita 27 tahun dan lelaki 26 tahun – mulanya secara selamba menjalani ujian Asid deoksiribonukleik (DNA) ditawarkan Ancestry.com untuk mengetahui salasilah keluarga masing-masing.

Selesai si wanita mendapatkan susur jalur keluarganya, tragis bagi lelaki apabila menerima keputusan DNA tersebut.

“Mulanya kami sangat gembira, tetapi selepas mengetahui maklumat latar belakang salah seorang waris, saya hilang teman wanita,” ujar lelaki tersebut seperti dilaporkan mirror.co.uk.

Menurutnya, terdapat beberapa nama pada susunan keluarga lelaki itu yang tidak dikenali.

Namun, selepas membuat kajian, si lelaki mendapati nama tersebut milik pembunuh bersiri terkenal.

Menurut lelaki itu, perkara tersebut telah mengganggu fikiran teman wanitanya.

“Minggu ini teman wanita mahu berjumpa dan berbincang serius,” ujar lelaki itu dan menambah, “dia putuskan hubungan ini kerana tidak boleh terima bahawa saya ada kaitan dengan pembunuh bersiri.”

Lelaki itu berkata, teman wanitanya mengaku sayang akan dirinya, tetapi tidak dapat menerima kenyataan dia ada kaitan darah dengan pembunuh bersiri terbabit.