SEBUYAU:  Satu lagi feri untuk penduduk Sebuyau.

Ini berita yang menggembirakan mereka.

Kerajaan Sarawak meluluskan tambahan sebuah feri di Sebuyau Triso bagi menampung peningkatan jumlah pengguna di kawasan itu.

Menteri Muda Jalan Pesisir Julaihi Narawi berkata, feri yang mampu memuatkan 32 kenderaan itu bagi melancarkan keperluan penduduk setempat.

“Sekarang ada tiga feri, jadi kita berharap penduduk tidak berdepan masalah menunggu lama terutamanya apabila musim perayaan,” katanya ketika merasmikan Taklimat Keselamatan Operasi Feri Bersama Komuniti Setempat di Dewan Pembangunan Sebuyau, semalam.

Adun Sebuyau itu berkata, kerajaan membelanjakan sebanyak RM48 juta pada 2017 dan RM51 juta bagi 2018 untuk menampung kos subsidi supaya perkhidmatan feri dikekalkan.

“Pada Disember 43,933 kenderaan menggunakan perkhidmatan feri tersebut,” katanya.

Tegas Julaihi,pertambahan feri ketiga itu mampu mengurangkan masa menunggu pada waktu puncak daripada empat jam setengah kebiasaannya kepada dua jam.

Tambahnya, pengguna jalan raya menggunakan perkhidmatan feri juga dinasihati supaya sentiasa mematuhi peraturan keselamatan feri.

“Diingatkan supaya pemandu sahaja dibenarkan berada di dalam kenderaan dengan cermin kenderaan dibuka sepenuhnya.

“Semua penumpang lain tidak dibenarkan berada di dalam kenderaan ketika feri menyeberangi sungai untuk menjaga keselamatan masing-masing,” jelasnya.

Tambah Julaihi, enjin kenderaan harus dimatikan dan pengguna harus peka akan aspek keselamatan yang ditetapkan. 

Beliau juga memohon kerjasama nelayan Sebuyau supaya tidak memasang pukat berdekatan dengan laluan feri kerana dikhuatiri mengganggu laluan operasi feri.