Tuesday, August 16, 2022

Pas tidak letak calon  di Sandakan dalam PRK 11 Mei depan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Pas tidak akan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada 11 Mei depan.

Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada 15 April 2019 membuat keputusan demikian.

“Dengan keputusan ini, maka PAS akan memberikan sokongan kepada wakil pembangkang yang akan meletakkan calon bagi menentang calon Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, Pas mengharapkan pilihan raya kecil ini menghasilkan keputusan yang akan menguatkan wakil pembangkang, lebih-lebih lagi kerusi Parlimen tersebut pernah dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu.

 

“Kemenangan calon pembangkang nanti sudah pasti akan menjadikan proses semak dan imbang dalam Parlimen Malaysia lebih efektif demi untuk kebaikan negara dan rakyat jelata,” katanya.

Selaras dengan itu, ujarnya lagi, Pas Sandakan dan Pas Sabah khususnya akan menggerakkan jentera pilihan raya setempat bagi membantu calon pembangkang dalam menghadapi PRK ini.

“PAS juga akan menyeru dan mengarahkan ahli-ahli dan penyokong-penyokongnya di kawasan ini supaya turun membuang undi sebagaimana pendirian parti bagi memberi sokongan kepada calon yang mewakili pihak pembangkang,” kata Takiyuddin lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon ditetapkan pada 27 April dan mengundi awal pada 7 Mei, sekali gus menyaksikan enam hari tempoh berkempen dan hari pengundian berlangsung dalam bulan puasa.

Seramai 40,131 pemilih layak mengundi mengikut Daftar Pemilih Induk Tahun 2018 yang dikemas kini sehingga 28 Mac lalu.

Ia merangkumi 39,856 pengundi biasa, 270 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt, 65, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap Pengerusi DAP Sabah meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tien Fatt mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan meraih 19,094 undi selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ming Hoo yang memperoleh 8,996 undi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru