SINGKAWANG, Indonesia: Bahagian Narkotik, Polis Indonesia di Wilayah Kalbar ( Polda Kalbar) mencekup lima individu minggu lalu, kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dari Malaysia.

Kelima-lima mereka, termasuk seorang wanita ditahan pada 8 April, selepas disyaki memiliki 8.24kg syabu dan 18,762 pil ekstasi, dipercayai untuk pasaran Kalimantan Barat.

Kapolda Kalbar Ir Jen Pol Didi Haryono memberitahu, penangkapan kesemua suspek adalah hasil maklumat awam.

“Berdasarkan maklumat tersebut, suspek yang menunggang motosikal telah ditahan oleh petugas khas Poldar Kalbar.

“Hasil penahanan tersebut, kita menemui dua beg yang memiliki syabu dan ekstasi.

Siasatan lanjut katanya, kemudian membawa kepada serbuan ke sebuah rumah di Jalan Mendalam 3, Desa Ambawang Kuala, dan menahan seorang wanita, dipercayai penagih.

“Di sini juga kita menemui dadah syabu yang disimpan dalam beberapa plastik lut sinar.

Siasatan lanjut selepas serbuan itu, terus membuah hasil apabila satu lagi serbuan dilakukan di sebuah kapal, yang dikenali sebagai Kapal Rajawali Laut-IV.

Serbuan di atas kapal ini katanya, membawa kepada penangkapan tiga individu, yang dipercayai sebahagian daripada sindiket antarabangsa.

Katanya lagi, siasatan masih dijalankan sebelum kesemua suspek diheret ke muka pengadilan.