KOTA SAMARAHAN: Banyak idea dan maklum balas telah dilontarkan pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di sekitar Kuching dalam mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani isu pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi YB Dr Annuar bin Rapaee berkata inilah sebabnya program sebegini wajar diadakan di dalam universiti bagi membolehkan penyertaan pelajar yang terlibat secara langsung dalam pinjaman PTPTN ini.

“Sebab itulah, saya mencadangkan program ini diadakan di universiti. Saya tidak mahu ianya diadakan di tempat luar.

“Saya mahu ia diadakan pada waktu rehat bagi membolehkan pelajar-pelajar dapat menghadirinya.

“Mungkin pada permulaan ini, kita hadkan kepada pimpinan pelajar dan kita tidak buka kepada seluruh pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Bicara Isu PTPTN “Dari Persepektif Mahasiswa” di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), semalam.

Seramai kira-kira 50 pelajar yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta menghadiri bicara ini yang bertujuan untuk mendengar cadangan dan mencari jalan penyelesaian terbaik dalam pembayaran balik PTPTN.

Turut hadir Timbalan Ketua Eksekutif, Dasar dan Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid dan Timbalan Pendaftar UNIMAS.

Dr Annuar menegaskan penyertaan aktif pelajar-pelajar dalam mengemukakan idea dan pandangan mengenai isu pinjaman PTPTN ini menunjukkan mereka amat menghargai penganjuran program komunikasi dua hala dengan pihak yang betul dan tepat.

“Program ini dalam mendapat ‘feedback’ (maklum balas) daripada pelajar yang secara langsung terlibat dalam isu ini haruslah kita lakukan sekerap mungkin.

“Ini disebabkan para pelajarlah yang terpaksa menanggung apa sahaja polisi yang akan ditentukan oleh pihak kerajaan.

“Saya kira, seperti yang kita lihat pada hari ini (semalam) pendapat, idea dan cara untuk menyelesaikan sesuatu isu,” ujarnya.

Jelas Dr Annuar lagi, pelajar-pelajar yang hadir pada hari ini sangat menghargai fakta-fakta yang telah dikemukakan PTPTN sehingga menyebabkan mereka dapat memberikan idea dan pandangan yang bernas dalam menyelesaikan isu ini.

“Misalnya, pada hari ini mereka telah diberikan fakta-fakta yang dikemukakan PTPTN yang amat dihargai pelajar bahawa betapa susahnya PTPTN mencari dana, betapa susahnya PTPTN mengumpul wang yang perlu diambil balik untuk dibayar dan seterusnya membantu pelajar-pelajar baru.

“Ini jelas menunjukkan jika ini kita dapat salurkan dari semasa ke semasa, maka pelajar akan mempunyai sikap yang menerima dan bukannya memberontak. Dengan cara itu, mereka dapat melontarkan idea-idea yang baik,” ujarnya.