KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak akan mengambil sikap bertegas dalam menyelesaikan isu bayaran kontra RM1 bilion bagi kegunaan baik pulih sekolah daif di Sarawak.

Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee berkata, prosedur penyaluran dana yang dipersetujui sebelum ini, adalah secara bayaran kontra kepada hutang pembangunan Sarawak.

“Tetapi perkembangan mutakhir ini menyaksikan persetujuan itu telah ditolak Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah membuat keputusan semalam untuk terus bertegas agar keputusan ini dikembalikan.

Susulan keputusan itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan bertemu dengan Abang Johari untuk perbincangan lanjut pada penghujung April ini.

“Bagi pihak saya, saya ingin melihat satu penyelesaian yang akan dimanfaat oleh pelajar-pelajar negeri Sarawak.

“Sebab kita amat memerlukan dana tersebut untuk disalurkan secepat mungkin agar projek baik pulih ini dapat disegerakan,” tambahnya.

Sarawak mempunyai 1020 sekolah yang dikategorikan sebagai daif, di seluruh negeri.