KUCHING: Lelaki yang mengakui menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW pada Mac lalu akan dibicarakan semula 16 Mei depan sementara laporan kesihatan mentalnya lengkap.

Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga semalam menetapkan tertuduh Alister Cogia, 22, menjalani tempoh sebulan untuk doktor menilai keadaan mental tertuduh.

Pada 8 Mac lalu, Alister didakwa memuatkan naik catatan menghina Nabi Muhammad dalam Facebook menggunakan nama ‘Ayea Yea.’

Selepas laporan polis dibuat, Alister telah dihadapkan ke mahkamah pada tarikh sama untuk didakwa di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1988 yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan denda RM50,000 atas kesemua pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Musli Abdul Hamid dan Timbalan Pendakwa Raya Hayda Faridzal Abu Hasan mengesahkan pihak pendakwaan menerima surat rasmi peguam tertuduh yang memohon dilanjutkan tempoh pemerhatian sehingga laporan lengkap mental tertuduh siap.

Sebelum ini, hakim mengeluarkan perintah untuk meletakkan Alister di bawah pemerhatian Hospital Sentosa mulai 13 Mac lepas bagi mengawasi kesihatan mentalnya. 

Menurut fakta kes, Alister ditahan di sebuah rumah di Singai Bau pada jam 12.15 tengah malam pada 3 Mac lalu.

Perkara tersebut menarik perhatian PKR yang kemudian membentuk pasukan perundangan terdiri daripada Francis Teron, Desmond Kho dan Jeffrey Mok bagi mewakili Alester.