IGAN: Seramai 12 buah keluarga dari Kampung Tian Matu dan Kampung Pergau Matu melahirkan rasa gembira selepas projek MRP-PPRMS yang dilaksanakan telah siap sepenuhnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng YB Dato’ Mursyid Diraja Dr. Haji Juanda Haji Jaya berkata projek ini merupakan projek di bawah Kerajaan Sarawak khas untuk membaikpulih rumah rakyat yang memerlukan.

“Seramai 9 buah keluarga dari Kampung Tian Matu dan 3 buah keluarga dari Kampung Pergau Matu melahirkan kegembiraan selepas menerima projek MRP-PPRMS yang telah siap sepenuhnya.

“Projek ini melibatkan baikpulih bumbung, bilik air dan beberapa kelengkapan rumah yang lain dengan jumlah keseluruhan hampir RM167,302.83,” katanya ketika ditemui semasa Lawatan Kerja YB ADUN Jemoreng di Kampung Igan, semalam.

Dato’ Mursyid Diraja Dr. Haji Juanda turut memaklumkan Projek Titian Konkrit di Kampung Tian juga telah siap.

“Projek Titian Konkrit Kampung Tian yang berjumlah RM749,500 telah siap diserah,” tambahnya.

ADUN Jemoreng turut melawat beberapa projek titian konkrit yang masih dalam pembinaan.

Hadir sama Timbalan Pegawai Daerah Matu Zarina dan Pegawai Tadbir Daerah Matu Noorkasmawati Kassim.