KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu malu untuk menyambung semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) demi kepentingan rakyat di negara ini, kata Ketua Pemuda UMNO.

Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan meneruskan kembali projek ECRL jelas membuktikan dasar ‘U-turn’ kerajaan PH yang semakin konsisten.

Beliau juga berharap Kerajaan PH tidak lagi mempolitikkan projek ini dengan pelbagai fitnah terhadap kerajaan terdahulu demi meraih sokongan.

Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

“Rakyat tentu sekali tidak dapat melupakan pelbagai fitnah dan tohmahan dahsyat dilemparkan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN),”’ katanya seperti dipetik media.

PH mengumumkan dua hari lalu akan  menyambung semula pembinaan ECRL.

Ia  meliputi jajaran baharu dengan kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL itu dikurangkan kepada RM44 bilion —  pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.

Katanya, fitnah dilemparkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sehingga hampir melumpuhkan projek yang memberi manfaat kepada jutaan penduduk di negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Namun kini, katanya, semua sandiwara PH dilenyapkan dan mereka umpama wira negara dengan mengumumkan berjaya merunding semula terma projek ECRL ini dengan kos RM44 bilion.

Walhal, katanya, ia hasil perubahan skala dan spesifikasi tertentu termasuk dibina tanpa terowong. Persoalannya, kata beliau, bagaimana dakwaan PH tentang pembaziran dan rasuah sebelum ini?