Sama rata: Anda setuju hak imigresen Sarawak dimansuhkan?

CADANGAN Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa keperluan pasport untuk bergerak dalam Malaysia tidak relevan amat berisiko sekali gus meletakkan rakyat Sarawak dalam keadaan bahaya.

Itu pendirian Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing. Katanya, rakyat Sarawak akan menanggung kesannya jika cadangan itu dilaksanakan.

“Sebaik saja pintu masuk imigresen Sarawak dibuka, ia akan dibanjiri profesional bukan rakyat Sarawak, yang datang bekerja di negeri ini tanpa memerlukan permit,” katanya semasa Dialog Bersama Rakyat di Ngemah, Ahad.

Justeru, kata Masing yang juga Presiden PRS, autonomi imigresen ditetapkan dalam Perjanjian Malaysia 1963,” jelasnya.

Katanya, cadangan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Muhkriz Mahathir mahu kuasa autonomi Sarawak dari sudut imigresen dimansuhkan adalah keterlaluan.

Hak dari segi imigresen merupakan antara satu daripada perkara dalam Perjanjian 18 Perkara yang dipersetujui sewaktu pembentukan Malaysia pada 1963.

Hak-hak lain, antaranya,  termasuk agama, bahasa,kewangan, kewarganegaraan, tanah, hak untuk berpisah, perhutanan, dan kerajaan tempatan.

Secara khusus dari segi kuasa imigresen, kawalan ke atas imigresen ke mana-mana bahagian Malaysia dari luar hendaklah berada dalam kuasa kerajaan persekutuan tetapi kemasukan ke Sarawak hendaklah juga mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri.

Kerajaan persekutuan tidak boleh membatalkan kemasukan sesiapa ke Sarawak untuk tujuan kerajaan negeri kecuali atas alasan keselamatan yang kukuh.

Sarawak hendaklah mempunyai kawalan yang tidak terbatas terhadap pergerakan manusia, kecuali kakitangan kerajaan persekutuan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg  November lalu mendakwa wujudnya usaha yang mahukan hak imigresen Sarawak dimansuhkan.

Abang Johari berkata cadangan itu disampaikan kepadanya oleh seorang individu bergelar ‘Timbalan Menteri’ dari Semenanjung.

“Ada seorang pemimpin, level Timbalan Menteri datang kepada saya meminta kita (Sarawak) supaya memansuhkan hak Imigresen. Individu itu berkata kepada saya ‘it’s about time for us (Sarawak) not to have imigration control‘ (sudah tiba masanya bagi kita (Sarawak) tidak mengawal Imigresen.

I said no (Saya katakan tidak). Hak Imigresen adalah perkara yang harus kita pertahankan kerana kuasa Imigresen adalah kuasa kita sepertimana termaktub di dalam perlembagaan dan Perjanjian Malaysia (MA63),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching awal November tahun lalu.

Pemimpin Umno dan bekas menteri Kerajaan Persekutuan, Datuk Seri Nazri Aziz  pernah menggesa agar Sabah dan Sarawak menyerahkan hak imigresen supaya dapat jadi rakan sekutu dalam persekutuan Malaysia.

“Apabila tidak ada lagi sekatan imigresen, maka barulah kita sama rata,” Nazri dipetik berkata.

Kenyataan pemimpin UMNO itu bagai menjolok sarang tebuan atau bagai mengganggu sarang ular tedung di dalam hutan.

Hak imigresen merupakan satu daripada hak yang termaktub di bawah Perjanjian 18/20 Perkara ketika Sabah dan Sarawak sama-sama membentuk Malaysia pada 1963. 

Tujuan khusus dari segi kuasa imigresen yang diberi pada 1963 adalah bagi melindungi kepentingan dan masa depan rakyat Sarawak yang ketika itu masih jauh di belakang dari segi ekonomi, pendidikan dan peluang pekerjaan berbanding dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Sebenarnya, kebimbangan utama di sebalik hak tersebut ketika itu adalah dominasi agama Islam, pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kemasukan beramai-ramai pekerja dari Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura.

Perkara berkaitan dengan hak imigresen ini penting. Kalau tidak, dipercayai bahawa kemungkinan Malaysia tidak berjaya dibentuk.

Untuk itu, kita perlu hargai dan ingati jasa pemimpin sperti Tun Abang Haji Openg,  Datu Bandar Abang Haji Mustapa danTemenggong Jugah Barieng dari Sarawak, dan Datuk Mustapha Harun, Khoo Siak Chiew dan G.S Sundang dari Sabah.

Maksudnya, hak ini ketika itu dianggap penting kerana kedua-dua negeri masih tidak membangun dan berada di belakang Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura.

Itu merupakan antara tuntutan para pemimpin dan pengasas kemerdekaan dari Sarawak dan Sabah ketika itu.

Maksudnya walaupun imigresen di bawah jagaan Kerajaan Persekutuan, tetapi dengan peruntukan berkenaan, dengan kekecualian tertentu, kemasukan ke Sarawak dan Sabah memerlukan kelulusan kerajaan kedua-dua negeri itu.

Hak ini tidak dapat dimansuhkan tanpa persetujuan kerajaan Sabah atau Sarawak.

Bayangkan jika berbondong-bondong rakyat dari dua wilayah itu masuk ke Sarawak tanpa sekatan. Bagaimana agaknya kesan dari segi sosial, politik dan ekonomi?

Mungkin pemimpin seperti Nazri dan Mukhriz perlu membaca balik buku teks sejarah dan dokumen berkaitan. Atau adakah beliau benar-benar menunjukkan kejahilannya tentang sejarah penubuhan Malaysia?

Atau beliau sebenarnya memperlihatkan keangkuhan dan kesombongannya?

Cadangan Nazri itu dibuat ketika kerajaan Pakatan Harapan memberi jaminan untuk kembalikan status Sarawak dan Sabah kembali seperti pada 1963.

Nazri  malah Mukhriz kelihatan amat naïf dan jahil tentang kandungan Perjanjian Malaysia 1963 dan perjanjian 18/20 Perkara.

Mereka perlu sedar bahawa hak imigresen merupakan satu daripada tonggak dan teras Perjanjian Malaysia dan pembentukan Malaysia. Mereka perlu faham konteks sejarah sebelum memberi pandangannya. Kalau tidak, rakyat akan fikir dia tidak buat komen dengan adil dan objektif.

Mengapa mereka perlu mohon permit dan gunakan kad pengenalan ketika masuk ke Sarawak dan Sabah?  Seolah-olah bagai masuk ke negara lain, sedangkan Sarawak dan Sabah sebahagian daripada Malaysia.

Memang dari satu segi, komen mereka ini ada asasnya. Bagi mereka, bukankah Sarawak dan juga Sabah sebahagian daripada Malaysia. Mengapa mereka dari Semenanjung dilayan seolah-olah bagai orang luar?

Lagipun, selepas lebih 50 tahun merdeka, adakah orang Sarawak masih mundur dan tidak yakin diri sehingga perlu perlindungan lanjut melalui hak imigresen itu?

Hak itu telah dipertahankan oleh pemimpin Sabah dan Sarawak tanpa kompromi.

Apa komen anda tentang perkara ini?