MIRI: Tiga laporan polis dibuat di Miri setakat ini terhadap pemilik akaun Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ kerana memuat naik foto yang menyinggung perasaan Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Satu laporan polis dibuat oleh Pertubuhan Badan Amal Tarbiah Aman Sejagat (Batas) Cawangan Miri yang diketuai pengerusinya Mohd Juhar Shariff di Balai Polis Miri (CPS), semalam.

Mohd Juhar dilihat tiba di CPS dengan diiringi 15 ahlinya pada jam 1.45 petang.

Sebelum ini, sudah ada dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain membuat laporan serupa.

Foto ST

Laporan itu dibuat  di balai polis Lutong dan CPS pada hari Ahad.

“Kami menggesa pihak berkuasa supaya  menjalankan siasatan ke atas pemegang akaun Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka,’ kerana menghina ketua pemerintah negara ini,” kata Mohd Juhar ketika ditemui di sini selepas membuat laporan terbabit.

Beliau juga menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia supaya segera menyiasat pemilik akaun Facebook tersebut.