Operasi feri di Pangkalan Sebuyau Triso kini tiga buah

SEBUYAU: Sebuah lagi feri tambahan berkapasiti 32 kenderaan telah memulakan operasinya Pengkalan Feri Sebuyau Triso pada Ahad lalu.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan tiga feri beroperasi di pengkalan tersebut.

Menteri Muda Jalan Pesisir, Datuk Julaihi Narawi, Menteri Muda Jalan Pesisir berkata demikian ketika merasmikan Taklimat Keselamatan Operasi Feri Bersama Komuniti Setempat di Dewan Pembangunan Sebuyau.

Beliau kemudian melakukan lawatan tapak ke Pengkalan Feri Sebuyau Triso.

Operasi feri di pengkalan ini berada di laluan jalan pesisir Sarawak yang menghubungkan kawasan Sebuyau di Samarahan dan Triso-Maludam-Pusa di Bahagian Betong.

Gambar hiasan

Perkhidmatan Feri Sebuyau Triso dilihat semakin sibuk selepas siapnya dua jambatan di Bahagian Samarahan iaitu Jambatan Batang Sadong di Kampung Sungai Buloh yang telah digunakan sejak Disember 2016 dan Jambatan Samarahan yang mula digunakan pada Julai 2018.

Mengikut statistik Jabatan Kerja Raya Sarawak, kenderaan yang menggunakan perkhidmatan feri ini meningkat pada suku ke-4 2018 selepas siapnya jambatan Samarahan pada tahun lepas.

Sejumlah 31,331 kenderaan dicatat pada Oktober 2018, meningkat kepada 33,427 pada November 2018 dan seterusnya sejumlah 43,933 kenderaan dicatat pada Disember 2018 menggunakan perkhidmatan feri ini.

Pertambahan operasi feri ketiga ini mampu mengurangkan masa menunggu pada waktu puncak terutama ketika hujung minggu, musim perayaan dan musim cuti sekolah daripada empat jam setengah kebiasaannya kepada dua jam.

Pengguna-penguna jalan raya yang menggunakan perkhidmatan feri di seluruh Sarawak dinasihati supaya sentiasa mematuhi peraturan keselamatan feri dan memberi kerjasama supaya tidak memotong barisan (queue) serta mengikut arahan krew feri yang bertugas terutama semasa kenderaan memasuki dan keluar dari feri.

Selain itu, diingatkan bahawa, hanya pemandu sahaja dibenarkan berada di dalam kenderaan dengan cermin dibuka sepenuhnya manakala semua penumpang lain tidak dibenarkan berada di dalam kenderaan masing-masing ketika feri sedang bergerak.

Ketika berada di dalam feri, enjin kenderaan hendaklah dimatikan dan brek tangan ditarik dengan ketat.

Pengguna dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap lokasi alat bantuan kecemasan seperti jaket keselamatan dan pelampung.

Beliau juga memohon kerjasama nelayan-nelayan tempatan dari kawasan Sebuyau dan Maludam supaya tidak memasang pukat berdekatan dengan laluan feri kerana dikhuatiri akan mengganggu laluan operasi feri.