KUCHING: Selain menyediakan platform seperti aplikasi e-Wanita kerajaan melalui KWKPK mahu menubuhkan satu lagi platform iaitu “One Stop Collection Centre” yang membawa kebaikan kepada para usahawan wanita di Sarawak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dato Sri fatimah Abadullah berkata, “One Stop Collection Centre” itu akan ditubuhkan di bawah kementeriannya bagi membantu golongan usahawan wanita memasarkan produk mereka dan memudahkan orang ramai menjalankan aktiviti pembelian.

Jelasnya, melalui aplikasi e-Wanita yang telah diperkenalkan oleh kerajaan, para usahawan wanita akan dapat memasarkan produk mereka dengan lebih efektif dan sambutan hari pertama aplikasi itu dilancarkan sangat menggalakkan sehingga produk yang mereka jual kehabisan stok.

Selain itu, beliau mengumumkan pada 17 Mei 2019 ini melalui aplikasi e-Wanita akan membuat promosi untuk beberapa produk seperti biskut dan kek bersempena dengan sambutan Hari Gawai dan Hari Raya Aidilftri yang akan disambut tidak lama lagi.

Pihak SEDC dan Jabatan Wanita sudah mendapat persetujuan awal untuk mengamalkan perkongsian strategik antara satu sama lain dalam menyediakan lebih banyak program untuk golongan wanita yang berminat dalam perniagaan.

Tambahnya, kerjasama itu bukan untuk meniru antara satu sama lain tetapi usaha menyokong antara kedua-dua pihak yang dapat memberi banyak peluang dan kemudahan untuk golongan wanita mengubah taraf hidup keluarga mereka.

SEDC juga akan mengadakan jelajah untuk memperkenalkan kesedaran tentang program yang disediakan sekaligus memberi pemahaman kepada orang ramai tentang kebaikan dalam setiap program yang diperkenalkan.