KOTA SAMARAHAN: Menerokai persefahaman dan kerjasama dalam bidang penyelidikan, akademik dan penglibatan kakitangan.

Itulah tujuan Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani Unimas dengan  Institusi Akauntan Bertauliah Scotland (ICAS), semalam.

Naib Canselor Unimas, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, agenda utama MoU tersebut adalah untuk mengukuhkan kurikulum yang sedia terhadap ijazah perakaunan Unimas.

Ini kata beliau, khususnya dari segi kualiti kandungan, penyampaian dan penilaian bersama dengan matlamat utama menyediakan laluan pelajar Unimas  mencapai kelayakan profesional ICAS.

Foto ST

“Akan dititikberatkan  supaya pelajar Unimas lulus kertas ujian ICAS,”’ katanya. 

“Dengan kelayakan ICAS, pelajar hanya perlu menyelesaikan pengalaman setimpal selama tiga tahun sebelum memohon untuk menjadi ahli rasmi Institut Akauntan Malaysia (MIA),” jelasnya.

Tambahnya,  MoU ini selaras dengan visi  menjadikan Unimas universiti teladan yang berusaha mencapai kecemerlangan dalam pengajaran, penyelidikan dan biasiswa.

“Ini akan menambah nilai terhadap ijazah perakaunan Unimas yang sedia ada dan menjadikannya lebih menarik kepada pelajar yang berpotensi, terutama yang berminat untuk mengikuti program komersial,” katanya. 

“Saya percaya Unimas dan ICAS akan menuju ke arah budaya akademik inovatif serta semangat penyelidikan. Oleh itu, kerjasama yang ada sekarang akan terus dipromosikan dengan rapi oleh kedua-dua pihak,”katanya.

Jelas beliau, kehadiran ICAS merupakan satu kejayaan penting untuk kerjasama yang lebih erat antara kedua pihak dan usaha untuk memperluaskan rangkaian, terutamanya kepada Unimas amat dihargai.

“Unimas dan ICAS juga berhasrat untuk membangunkan dan menyampaikan model pendidikan perkongsian berbentuk inovatif bersempena dengan firma latihan yang diberi kuasa bagi tawaran Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan kelayakan CA,”ujarnya.