KUCHING: Seorang lelaki berputih mata apabila kerugian RM487,000 dalam tujuh harı setelah ditipu sindiket Macau Scam.

Menurut Ketua Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah, mangsa merupakan penjawat awam berusia lewat 20-an.

Katanya, pada 7 April lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada pihak bank, memaklumkan dia mempunyai tunggakan kad kredit yang perlu dijelaskan.

“Mangsa bagaimanapun menafikan mempunyai kad kredit seperti yang didakwa suspek sebelum dia disambungkan ke IPK Terengganu, dan dituduh terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah dan penggelapan wang.

“Mangsa kemudian diarah membuka akaun bank baharu, kononnya untuk tujuan penyiasatan oleh juruaudit negara.

“Dia juga dipaksa menyerahkan butiran ‘internet banking’ akaun baharu kepada suspek.

Mustafa memberitahu, mangsa hanya menyedari dirinya tertipu apabila semakan di bank pada 14 April lalu menunjukkan baki akaunnya kurang RM487,000.

“Mangsa kemudian membuat laporan di balai polis pada semalam,” katanya.