DARO: Putih tapak kaki seorang nelayan di sini, selepas melihat satu objek gergasi terperangkap dalam jala ikannya.

Lebih menakutkan, objek tersebut muncul secara mengejut dan warnanya kemerah-merahan.

Mohd Nizam Lai, 27, nelayan Kampung Betanak memberitahu, beliau bagaimanapun bersyukur kerana setelah diamati, objek tersebut sebenarnya seekor ikan pari gergasi.

“Namun saya tetap cemas kerana terpaksa mendaratkan ikan pari 200 kilogram, sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Kata Mohd Nizam, ikan pari itu bagaimanapun berjaya dinaikkan ke darat dengan bantuan dan pengalaman bapanya, Lai Awi, 54.

Ikan gergasi tersebut ditangkap di kawasan pesisir pantai Pulau Bruit, sekitar sejam perjalanan dari Kampung Betanak, pada jam 10.00 pagi semalam.

“Pada mulanya saya menyangka bakul besar tersangkut dalam jaring kami dan tambahan pula, saya tidak pernah melihat objek sebesar itu.

“Namun sebaik menariknya, kami terkejut melihat seekor ikan pari gergasi muncul di atas permukaan air.

“Kami mengambil masa hampir sejam untuk menaikkannya ke dalam bot sebelum pulang ke pengkalan,” katanya.

Katanya, ia mungkin ini rezeki musim panas.

Dia kemudian menjual terus pari tersebut sebaik tiba di pangkalan kampung.