KUCHING: Jika anda golongan kreatif, anda punya tempat di Festival What About Kuching (WAK).  

Festival ini salah satu inisiatif  yang mengajak semua golongan komuniti kreatif  di seluruh Sarawak untuk turut serta.

Festival  dari 28 Sept sehingga 27 Okt depan ini dirasmikan oleh Menteri Perlancongan, Kesenian, Kebudayaan,  Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah di Hotel Waterfront di sini, semalam.

Peserta katanya akan berbincang di setiap peringkat program festival yang bakal melibatkan seni, budaya dan gaya hidup.

“Dengan cara ini kita dapat memperkenalkan setiap aktiviti yang diadakan ini ke peringkat negeri  dan antarabangsa,” katanya.

Gambar fail

Penganjuran untuk kali ketiga terus mendapat sokongan padu daripada Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Perlancongan, Kesenian, Kebudayaan,  Belia dan Sukan.

“Melihat WAK sebagai sebuah festival yang dekat di hati bandar raya Kuching, festival ini merupakan antara misi kementerian untuk menjadikannya sebagai festival yang menjadi lambang serta ikon dan sambutan utama kepada seluruh Sarawak,”  katanya.

Abdul Karim menjelaskan salah satu  impian beliau adalah untuk melihat WAK menjadi sebuah festival besar yang mengetengahkan seni, budaya dan gaya hidup seperti festival lain yang dikenali di seluruh dunia.

Dalam pada itu, beliau turut mempelawa mana-mana individu kreatif di Sarawak untuk menjadi sebahagian daripada festival WAK 2019 pada Oktober ini.

“Mereka boleh menghantar permohonan kertas cadangan kepada pihak penganjur melalui laman rasmi aboutkuching.com dalam masa terdekat dan pihak penganjur akan berusaha menjadikan penglibatan dan impian mereka realiti,”ujarnya.