KUCHING: Edinburgh Festival Fringe di Scotland. Itu tanda aras yang diingini Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak terhadap festival What About Kuching (WAK) yang kini memasuki edisi ketiga.

Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mahu festival ini mampu menggamit peminat serta pencinta kesenian dan budayaan dunia.

WAK menurutnya, merupakan antara festival tempatan yang mahu diangkat sebagai festival yang bertaraf tinggi.

“Saya mahu melihat WAK menjadi sebuah festival besar yang mengetengahkan seni, budaya dan gaya hidup Sarawak agar dikenali di seluruh dunia.

WAK yang dilancar semalam, akan belangsung dari 28 September hingga 27 Oktober 2019.

Untuk penganjuran kali ini katanya, dia mahu penglibatan lebih besar komuniti kreatif termasuk dari Miri, Bintulu, Sibu, Sri Aman, Kota Samarahan dan Mukah selain Kuching.

Abdul Karim turut mempelawa dan menggesa mana-mana individu kreatif yang terlibat aktif dalam seni, budaya dan gaya hidup untuk menjadi sebahagian daripada Festival WAK 2019.

“Mereka boleh menghantar kertas cadangan kepada pihak penganjur melalui laman rasmi aboutkuching.com dan dalam masa terdekat, pihak penganjur akan berusaha menjadikan penglibatan dan impian mereka menjadi realiti,” ujarnya.