KUCHING: Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Tuan Haji Yahaya bin Ali bercadang menjadikan digitalisasi DUN Sarawak sebagai modul untuk persidangan mereka akan datang.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Haji Mohamad Asfia bin Awang Nassar di Kompleks DUN Sarawak semalam.

Yahaya berkata, DUN Sarawak merupakan DUN tertua dan tentunya pengalaman tersebut boleh dikongsi oleh kerajaan Terengganu, lebih-lebih lagi pengurusan DUN Sarawak yang lebih dahulu mengurus persidangan secara digital.

Beliau menambah, Terengganu sedang dalam usaha untuk menguruskan persidangan DUN secara digital melalui penggunaan portal dan dibekalkan laptop bagi merujuk hansard dan arkib serta dibekalkan wifi.

Lawatan rasmi ini turut bertujuan untuk menambah baik pengurusan dalam dewan dan pengurusan sidang dewan secara digital melalui penggunaan ICT.

Beliau berkata, lawatan ke DUN Sarawak telah melengkapkan lawatan beliau ke Malaysia Timur setelah lawatan ke DUN Sabah pada tahun lepas.

Delegasi ini turut disertai oleh isteri beliau, Puan Hajjah Zarani binti Othman dan Encik Zulkifli bin Isa, Setiausaha DUN Terengganu.

Dalam pada itu, Datuk Amar Mohamad Asfia menyatakan beliau berbesar hati dengan lawatan daripada delegasi DUN Terengganu dan menyatakan kesanggupan untuk berkongsi pengalaman dalam mentadbir urus sidang DUN.

Terdahulu, beliau telah mengadakan sesi penerangan berkaitan bajet yang sudah diluluskan November 2018.

Rombongan dari Terengganu itu juga mengadakan sesi perjumpaan dengan komuniti mereka yang belajar dan bekerja di Sarawak pada pada malam Ahad lepas.