KUCHING:  Hasbi Sulaiman, seorang aktivis budaya terkenal pada 1960-an dan 1970-an menghembuskan nafas terakhirnya di rumah keluarganya di Kampung Nombor Empat di sini jam tiga petang tadi.

Allahyarham berusia 92 tahun meninggal dunia kerana sakit tua.

Menurut ahli keluarganya, Allahyarham akan dikebumikan selepas Isyak malam ini.

Beliau dilahirkan pada 1927 dan memulakan kerjayanya sebagai pengatur huruf.

Allahyarham  maju selangkah demi selangkah dalam kerjayanya.

Sebagai seorang pejuang nasionalisme, Hasbi meletakkan jawatan bersama-sama pegawai lain dalam kumpulan 338 pada 1946 ketika gerakan antipenyerahan memuncak.

Allahyarham bergiat aktif dalam Barisan Pemuda Sarawak dan Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak.

Hasbie banyak menulis buku tentang sejarah dan budaya Melayu Sarawak.

Beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak pada 1972 sebelum bersara pada 1982.

Selepas bersara, Allahyarham menumpukan perhatian kepada bidang penulisan.

Buku biografi beliau bertajuk Hasbie Sulaiman: Permata Yang Terpendam ditulis oleh Prof Madya Dr  Jeniri Amir terbitan Universiti Malaysia Sarawak memaparkan warna-warni dan liku-liku kehidupannya.