BELAGA: Sekurang-kurangnya dua blok kediaman dan sebuah gereja musnah dijilat api di Uma Bawang, Sungai Asap di sini petang semalam.

Kejadian berlaku lebih lima bulan selepas sebuah lagi rumah Panjang, Uma Bakung musnah akibat api di kawasan berkenaan.

Menurut Pemangku Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii,
blok pertama kediaman iaitu Blok D mempunyai 19 pintu manakala Blok E, 23 pintu.

Api katanya, marak dengan begitu cepat disebabkan cuaca panas dan struktur binaan yang tidak kekal.

“Pihak kita menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.03 petang dan sebuah jentera serta sebuah ambulans EMRS, dengan kekuatan 11 anggota yang diketuai Ketua Balai Mohamad Meramit diatur gerak ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu.

Mereka terpaksa mengharungi perjalanan lebih 1 jam 30 minit sebelum tiba di lokasi, dan bergantung kepada
Pasukan Bomba Sukarela Sungai Asap untuk kerja-kerja pemadaman dan penyelamtan awal.

Siasatan awal kata Ling Hii mendapati kebakaran bermula dari hujung Blok D.

“Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” tambahnya lagi.