KOTA SAMARAHAN: Pemenang anugerah filem dokumentari, Harun Rahman akan  berkongsi pengalaman beliau dalam dunia pembikinan filem dokumentari dengan pelajar Unimas pada Khamis ini.

Dalam sesi perkongsian ilmu itu, beliau akan menceritakan pengalaman sepanjang penglibatan aktif  dalam industri pembikinan filem dokumentari sekali gus mengangkat nama beliau di beberapa festival filem tempatan dan antarabangsa.

Menurut Pengarah Festival Mini Filem, Mohd Affendi Azizan, antara karya terkenal Harun ialah ‘Aerial Indonesia’, ‘Sumatra’s Last Tigers’, ‘Rising Sun over Malaya’ dan ‘On Borrowed Time.’

“Dari situ, kita boleh dapati beliau pernah menghasilkan dokumentari dalam pelbagai subjek atau sudut seperti tentang budaya, sejarah dan juga pemuliharaan hidupan liar,”
jelas Affendi.

Bersama-sama isterinya, Harun telah menubuhkan syarikat penerbitan, Nuvista Media Sdn Bhd pada 1991.

Syarikat itu menawarkan banyak perkhidmatan penerbitan dan pascapenerbitan berkaitan dengan penerbitan berbentuk fakta untuk banyak stesen TV di Malaysia dan antarabangsa seperti RTM, Astro, National Geographic Channel, Discovery Channel, History Channel dan Channel NewsAsia.

Selain bergiat aktif dalam pembikinan dokumentari, Harun juga merupakan pengasas dan presiden Malaysia Documentary Association (MyDocs).