KUALA LUMPUR: Sekitar 41,000 penonton terpesona dengan Ed Sheeran, penyanyi yang popular dengan lagu ‘Shape of You’.

Di konsertnya di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, yang sebahagian daripada jelajah ‘Divide Tour 2019’, Ed memulakan persembahan dengan dendangan lagu ‘Castle on the Hill’.

Namun, pada akhir konsertnya, penonton bersorak dengan penuh keterujaan apabila Ed tampil semula di pentas dengan memakai jersi Team Malaysia!

Sebagai lagu terakhir susulan sorak pinta “We want more!” dari penonton, Ed kemudian mendendangkan lagu hit ‘Shape of You’ diikuti oleh ‘You Need Me, I Don’t Need You’.

Antara yang teruja melihat penyanyi itu berbaju jersi pasukan negara ialah ratu terjun negara, Pandelela Rinong, yang memuat naik posting di Twitter.

Bagaimanapun, segelintir penonton meluahkan rasa kecewa kerana mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam stadium pada 4 petang seperti yang ditetapkan.

Namun, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes menjelaskan bahawa ianya bagi menjamin keselamatan pengunjung konsert itu, memandangkan cuaca hujan dan petir yang lebat pada waktu itu.

Dalam satu muat naik ke Twitter, beliau berkata bahawa pengunjung tidak dibenarkan masuk awal kerana cuaca petir yang membahayakan namun berjanji pihak penganjur akan berusaha untuk bertambah baik.

Persembahan itu merupakan persembahan ketujuh dalam jelajah Ed Sheeran di Asia, diikuti dengan penampilan di Singapura pada 26 April, Bangkok pada 28 April dan Jakarta pada 3 Mei.