MUKAH: Randau Pembangunan Sosial ini akan memfokuskan kepada 10 isu sosial yang menjadi perhatian dalam usaha menanganinya di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak YB Dato Sri Hjh Fatimah Abdullah berkata ini yang merupakan salah satu langkah ‘aoutreach’ untuk menjejak komuniti akar umbi di luar bandar agar melibatkan diri secara aktif bagi memperkasakan keluarga dan komuniti mereka dalam menangani isu-isu sosial di Sarawak.

“Randau ini memberi fokus kepada sepuluh isu sosial yang menjadi fokus Kerajaan Sarawak melalui KWKPK, iaitu Penyalahgunaan Dadah & Substance; Penyakit Jangkitan Kelamin, HIV & AIDS; Keganasan Rumahtangga; Jenayah Seksual terhadap Kanak-Kanak dan Wanita; Jenayah Harta Benda; Perkahwinan dan Perceraian; Kehamilan Remaja; Masalah Dokumen Pengenalan Diri; Kesihatan Mental; dan Gelandangan serta isu-isu yang lain berdasarkan tren sosial semasa di negeri dan juga bahagian.

“Ini merupakan siri kelima randau ini diadakan sejak ianya mula diperkenalkan pada Januari 2019 lalu.

“Pengalaman awal di dalam empat siri yang telah dilaksanakan mampu memberi petunjuk dan hala tuju baharu dalam usaha KWKPK menyelaras penyelesaian isu-isu sosial di peringkat akar umbi di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Penutupan Randau Pembangunan Sosial Siri 5/2019 Bahagian Mukah & Pelancaran Program  Randau Pembangunan Sosial Di Sarawak Tahun 2019 di Dewan Serbaguna Kampung Senau Oya, semalam.

Program Randau Pembangunan Sosial ini telah diadakan selama dua hari anjuran Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak dengan mendapat kerjasama daripada Pejabat Residen Bahagian Mukah, Pejabat Daerah Kecil Oya dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Senau.

Dato Sri Hjh Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat menjelaskan dalam Program Randau Pembangunan Sosial ini juga kita telah mengetahui dan mendapat gambaran awal berkenaan isu yang perlu ditangani segera menerusi kolaborasi pelbagai pihak secara lebih berkesan.

“Antaranya, wujud golongan kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan taraf kewarganegaraan dan masalah kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan taraf kewarganegaraan.

“Juga, penglibatan kanak-kanak dalam penyalahgunaan dadah dan substance; dan kompetensi ibu bapa untuk menangani tingkahlaku dan masa hadapan anak-anak mereka,” tambahnya.

Kerajaan Sarawak turut menitikberatkan pembangunan sosial dalam mencapai pembangunan yang seimbang.

Kesejahteraan sosial adalah aspek penting pembangunan Sarawak bagi mencapau status negeri maju menjelang tahun 2030.

“Saya menyeru agar setiap golongan masyarakat perlu peka dan sentiasa memainkan peranan masing-masing sebagai “mata dan telinga” dengan bertindak melaporkan segala maklumat, permasalahan dan gejala tidak sihat yang berlaku di sekeliling mereka kepada jabatan/agensi kerajaan yang berkenan.

“Kerajaan Sarawak sememangnya komited dengan usaha memperkasakan komuniti secara inclusive tanpa mengira latar belakang etnik, agama, lokasi dan kefahaman melalui pembinaan modal sosial (sosial capital) dengan kesedaran serta pengetahuan seperti yang dilakukan dalam program randau ini supaya lebih berdaya tahan (resilient) dalam menangani pelbagai krisis dan cabaran sosial dan ekonomi semasa,” ujarnya.

Hadir sama Setiausaha Eksekutif, Majlis Pembangunan Sosial Sarawak, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dr Zufar Yadi Brenden Abdullah, Residen Bahagian Mukah Hjh Hamidah bt Hj Bakir, Pegawai Daerah Dalat Kueh Leh Poh, Walikota Majlis Daerah Dalat Dan Mukah Hj Kadir bin Hj Jamil, Ketua Kaum Kampung Senau Oya Mohd Affandi bin Ketam, Temenggong Bahagian Mukah Temenggong Hj Hendi bin Suhai, Ketua-ketua jabatan dan Ketua-ketua Masyarakat.