Datuk Seri Mohamad Hasan diumumkan sebagai pemenang dalam  PRK Rantau selepas memperoleh 10,397 undi daripada 56 saluran, mengatasi tiga pencabarnya dengan majoriti 4,510 undi.

Pesaing terdekatnya,  Dr S Streram daripada PKR mewakili Pakatan Harapan (PH), mendapat 5,887 undi, manakala R Malarvizhi, mendapat 83 undi, manakala bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar, Mohd Nor Yassin, mendapat meraih 79 undi.

Dua calon bebas hilang wang deposit kerana gagal memperoleh satu perlapan atau 12.5 peratus undi daripada keseluruhan undi dikira.

PRK DUN Rantau  mencatatkan 79.3 pengundi keluar mengundi dan merupakan peratusan keluar mengundi tertinggi berbanding sepanjang PRK selepas PRU-14.

Isu PRK

Kemenangan  di Rantau memberikan tamparan hebat  kepada Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil.  Hal ini dapat dilihat apabila berjaya menewaskan PH dengan 4,510 undi yang merupakan majoriti besar setakat ini.  Berbanding di Semenyih mendapat 1,914 undi dan Cameron Higlands 3,238 undi.

Meskipun pada pilihan raya umum 2018, berdasarkan pola pengundi di parlimen Rembau, pengundi di Rantau menolak BN dan memilih PH, namun dalam PRK ini sebaliknya.  Hal ini kerana selepas 10 bulan PH memerintah timbul pelbagai ketidakpuasan hati akibat pelbagai manifesto sama ada lambat mahupun gagal dilaksanakan.

Perkara ini berlaku kerana  Tun Mahathir sendiri mengakui tidak yakin Pakatan Harapan boleh menang pilihan raya umum lalu dan manifesto hanya untuk memalukan Barisan Nasional.  Sebab itu, PH menghasilkan manifesto panjang dan perinci bagi memalukan dan menekan kerajaan pentadbiran BN.

Kini PH pula diakui Mahathir berada dalam kedudukan yang memalukan kerana harus memenuhi perkara-perkara tidak wajar dalam manifesto, tetapi kita tetap akan melakukannya.  Sebab itu, sebahagian manifesto itu sukar dilaksanakan dan kenyataan-kenyataan pemimpin gabungan itu tidak boleh diterima.

Akibat mahu menang dan tidak sangka boleh menang maka pelbagai janji dibuat agar rakyat mengundi  Pakatan Harapan.

Isu tol, janji kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pembelaan kepada rakyat termasuklah petani, pesawah, pekebun kecil, penoreh getah, nelayan dan sebagainya  kebanyakan peruntukan dikurangkan menambahkan rasa ketidakpuasan hati.

Malah kos hidup semakin meningkat dan GST dihapuskan gagal membendung kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Analisis Pusat Daerah Mengundi (PDM)

Daripada 14 pusat daerah mengundi (PDM),  PH hanya menang 1 sahaja PDM dalam PRK Rantau ini.  PH hanya menang di PDM Bandar ekar yang mempunyai peratusan pengundi Cina tertinggi iaitu, 42.1 peratus dan pengundi India ketiga tertingga di Rantau.  

Didapati walaupun PH menang tetapi terdapat peratusan menurun daripada 70.3 peratus pada PRU lalu kepada 60 peratus kali ini. Penurunan 10 peratus ini memancarkan sokongan terhadap PH semakin merosot di kawasan kubu kuat PH sendiri.  Hal ini jauh berbeza dengan PRU lepas apabila PH memenangi separuh daripada PDM lepas.

BN pula memenangi  13 daripada 14 pusat daerah mengundi. PH memenangi separuh PDM pada PRU lalu. Di PDM Pekan Sagga terdapat 63.7 peratus pengundi India, dan apabila digabungkan dengan pengundi Cina menjadikannya membentuk 80 peratus pengundi.  

Di kawasan itu juga peratusan India paling tinggi di Rantau. Pada PRK Rantau kali ini BN menang di pdm ini, malah BN berjaya menambahkan undi.

Berdasarkan pola ini juga, BN  berjaya menambahkan 50 hingga 300 undi di setiap PDM berbanding pilihan raya umum sebelumnya. Di kawasan majoriti pengundi Melayu, undi memihak BN lebih tinggi.

Selain itu,  BN berjaya menang empat daripada lima  kawasan atau daerah yang mempunyai peratusan penduduk India dan Cina yang tinggi.  Sebelum ini merupakan penyokong tegar PH. Ini termasuklah di Linsum yang mempunyai 54% bukan Melayu, Pekan Sagga (80% bukan-Melayu), Rantau (83% bukan-Melayu) dan Kuala Sawah (55% bukan-Melayu).

Masa depan

Yang paling menarik ialah BN menang  di semua saluran pengundi muda. Hal ini kerana pengundi muda berhadapan dengan peluang pekerjaan yang gagal disediakan berbanding manifesto  terdahulu PH mahu menyediakan satu juta peluang pekerjaan yang berkualiti.

Manifesto  untuk menetapkan  gaji minimum RM1500 dilihat masih gagal. Begitu juga  manisfesto menangguhkan bayaran balik peninjaman bagi pemimjam  bergaji bawah RM 4,000 gagal dilaksanakan.

Kemenangan Mohamad Hasan ini penting bagi UMNO dan BN  ketika BN gagal mempertahankan Putrajaya pada pilihan raya umum lalu.  Pelantikan sebagai pemangku presiden UMNO tepat pada masanya dalam keadaan UMNO yang dilihat tercemar reputasi akibat tindak tanduk dan pemimpin sebelum ini yang membawa imej yang kurang baik dan menyebabkan kekalahan BN.

Untuk UMNO memandang ke hadapan, sewajarnya Tok Mat  bertanding di peringkat parlimen sesuai dengan kedudukan beliau sebagai  Timbalan Presiden UMNO dan berpotensi sebagai presiden UMNO pada masa akan  datang. Pentingnya, Tok Mat dalam menerajui UMNO agar dapat membina budaya baru dalam politik UMNO.

Politik personaliti Tok Mat ialah ramuan politiknya di peringkat dewan undangan negeri dan  kepimpinan dalam parti UMNO. Kejayaan Tok mat menarik penyokong PH beralih kepada BN sepatutnya menjadi titik tolak kepada  perubahan yang lebih besar kepada UMNO dan dimanfaatkan di peringkat nasional.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.