SARIKEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.45 Repok, YB Dato Sri Huang Tiong Sii hari ini merasmikan Program Duta Prihatin Masyarakat Zon Sarikei.

Program tersebut anjuran Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak bersama Duta Kenali Ubat.

Program berkenaan merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam memastikan pengurusan ubat-ubatan di rumah pesakit adalah digunakan dengan cara yang betul dan selamat.

Dato’ Sri Huang berkata, pendedahan kepada masyarakat berkenaan pengurusan ubat-ubatan memberi pendidikan kepada mereka untuk memastikan pengamalan dan penggunaan ubat perlu dilakukan secara berpatutan.

“Saya berharap program ini boleh mendapat sokongan daripada semua pihak untuk mencapai warga yang sihat di Sarikei.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung atas kejayaan program ini dan kepada Junior Chamber International (JCI) juga tahniah diucapkan kerana aktif menjalankan aktiviti bermanfaat seperti ini terutamanya di kalangan golongan muda bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga di kawasan luar bandar seperti Ulu Minus ini,” katanya.

Dato’ Sri Huang menambah, masyarakat setempat harus mengambil peluang itu untuk saling berkenalan dan bertukar pendapat dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni dan sihat.

Program Duta Prihatin Masyarakat Zon Sarikei yang diadakan di Rumah Setia, Ulu Minus Sarikei turut dihadiri Pegawai Kesihatan Bahagian Sarikei, Dr. Emmanuel Joseph Fong, President JCI Sarikei, Wong Miew Kwong dan Tuai Rumah Setia Ugok.