ASAJAYA: Golongan belia negeri ini merupakan generasi yang penting dalam menentukan hala tuju dan masa depan Sarawak.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan Belia dan Sukan Sarawak, YB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, berdasarkan statistik semasa, jumlah belia dianggarkan seramai 1.97 juta orang daripada 2.8 juta penduduk di negeri ini.

Menurutnya, dalam konteks ini golongan belia seharusnya menjadi penggerak yang memacu Sarawak ke tahap yang diimpikan oleh pemimpin utama negeri.

“Belia-belia yang ada pada masa sekarang yang akan mengantikan kepimpinan yang ada pada masa ini. Justeru, golongan belia harus berani tampil ke hadapan mengambil tampuk utama transformasi negeri apabila sudah tiba masa kelak.

“Justeru golongan belia terutamanya di Asajaya harus mengutamakan pendidikan dan melibatkan diri dalam program-program kepimpinan,” katanya semasa Majlis PelancaraN Jelajah Belia Sarawak 2019 di Kompleks Sukan Asajaya di sini hari ini.

Datuk Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya kemudian mengalukan kedatangan dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program Jelajah Belia Sarawak 2019.

Katanya, beliau berasa cukup bangga apabila Asajaya dipilih sebagai daerah pertama bagi permulaan program Jelajah Belia Sarawak 2019.

“Golongan belia mencerminkan harapan masa depan Sarawak, saudara saudari semua adalah penting untuk masa depan negeri ini,” ujarnya.