KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Pemodenan Pertanian Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak YB Datuk Amar Douglas Uggah anak Embas dijangka akan menyempurnakan majlis Serah Tapak Projek Pemuliharaan dan Menaiktaraf Kubu Ili, Betong pada 18 April, Khamis, jam 9.30 pagi di Perkarangan Kubu Lili, Betong.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Jabatan Muzium Sarawak, berkata selain penyerahan tapak projek turut diadakan upcara ritual (miring) bagi menghormati sensitiviti komuniti setempat.

“Selain penyerahan tapak projek, turut diadakan upcara ritual (miring) sebelum projek dilaksanakan bagi menghormati sensitiviti komuniti setempat. Ianya akan dilakukan oleh masyarakat Iban di kawasan itu.

“Sebelum itu, satu Majlis Doa Selamat sempena Projek Pemuliharaan dan Menaiktaraf Kubu Ili akan diadakan pada sebelah malamnya, 17 April bertempat di Masjid Jamek Betong.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas YB Razi Sitam dijangka akan hadir di majlis itu,” katanya.

Kubu Lili dibina pada tahun 1885 dan diperbuat daripada kayu belian.

Struktur atapnya yang unik tidak terdapat pada kubu-kubu lain pada asalnya diperbuat daripada daun-daun nipah, dan telah digantikan dengan kepingan belian pada tahun-tahun selepasnya.

Sewaktu zaman pemerintahan Brooke, bangunan ini telah merakam pelbagai peristiwa bersejarah bagi mempertahankan serangan daripada masyarakat Iban.

“Semasa pemerintahan Kerajaan Brooke, bangunan ini digunakan sebagai kubu bagi mematahkan beberapa siri serangan daripada pahlawan Iban bernama Rentap.

“Setelah beberapa ketika, kubu ini kemudiannya telah diubahsuai untuk dijadikan sebagai balai polis dan pejabat kerajaan,” tambahnya.

Kubu Lili merupakan salah sebuah daripada kubu-kubu di bawah jagaan Jabatan Muzium Sarawak untuk dipulihara dan dinaik taraf dalam Projek Pemuliharaan dan Menaiktaraf Kubu-Kubu Bersejarah di Sarawak melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Siapnya projek ini nanti, Kubu Lili ini akan bertukar fungsinya daripada sebuah kubu dan pejabat kerajaan kepada sebuah muzium yang akan mempamerkan tentang sejarah dan budaya masyarakat Betong.