Regata Samarahan 2019 buka 11 kategori perlumbaan Julai ini

KUCHING: Regata Samarahan 2019 akan menyingkap tirainya pada 12 hingga 14 Julai depan bertempat di Tapak Regatta Kampung Tambirat di sini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan Belia dan Sukan Sarawak merangkap ADUN N15 Asajaya, YB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kali terakhir Regata Samarahan berlangsung adalah pada tahun 2015.

Menurutnya, Regata Samarahan kali ini akan dirasmikan oleh TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg.

“Seperti sedia maklum, sukan regata merupakan antara sukan yang paling diminati di Sarawak.

“Dalam Regata Samarahan tahun ini, sebanyak 11 kategori perlumbaan yang akan dipertandingkan,” katanya dalam sidang media Regata Samarahan 2019 di Bilik Mesyuarat Mulu, Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak di sini semalam.

Datuk Abdul Karim memberitahu, Regata Samarahan 2019 itu dianjurkan bersama oleh Residen Bahagian Samarahan dan Pejabat Daerah Asajaya dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan Belia dan Sukan Sarawak.

Jelasya, antara pengisian acara-acara sepanjang Regata Samarahan ialah, persembahan pentas, pertandingan memasak, pertandingan gubahan barang terbuang, gerai jualan, Badang Samarahan serta pameran agensi-agensi kerajaan termasuk institut pengajian tinggi.

“Hadiah-hadiah lumayan juga menanti para pemenang dengan RM54,670 akan direbut sepanjang Regata Samarahan 2019,” katanya.