Projek pulpa, kertas bernilai RM7.3 bilion bakal dilaksana di Sarawak

KUCHING:  Ketua Menteri berkata akan sentiasa ada permintaan untuk kertas berkualiti tinggi bagi tujuan percetakan dan pembungkusan produk yang dibeli dalam talian di negeri ini.

Justeru, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengalu-alukan pelabur luar untuk membangunkan potensi Sarawak dalam projek pulpa dan kertas di negeri ini.

Beliau merujuk kepada projek bernilai sekitar RM7.3 bilion yang akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan fasa satu dijangka dimulakan pada 2020.

Projek tersebut ialah kerjasama antara SEDC dengan Shan Ying International Holdings Co Ltd.

Majlis pemeteraian Perjanjian Persafahaman (MoU) berlangsung pada 3 April di China.

“Projek ini ialah industri tambah nilai berasaskan kertas kitar semula yang diimport tanpa perlu mengeksploitasi sumber semula jadi kita,” katanya.

Jelasnya, ini dimungkinkan melalui penggunaan teknologi  selamat dan mesra alam yang menggunakan tenaga dapat diperbaharui.