KUCHING:  Adakan pungutan suara.Itulah gesaan Pengerusi Pemuda SUPP Michael Tiang terhadap Kerajaan Sarawak berkaitan pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai statusnya.

Jelasnya, apabila  rang undang-undang (RUU) berkenaan gagal diluluskan dalam persidangan Dewan Rakyat awal minggu ini, hal ini bukan bermakna dunia sudah berakhir.

“Bukan juga bermakna sudah berakhir usaha kita untuk membetulkan kesilapan lalu. Kerajaan PH dapat saja bentangkan RUU itu pada masa depan,” jelasnya.

RUU untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak ke kedudukan asal seperti pada 1963 gagal mendapat majoriti dua pertiga apabila PH hanya mendapat 148 undi.

Sebanyak 59 lagi memilih untuk tidak mengundi, termasuk 18 ahli parlimen GPS.

Sebabnya, menurut GPS kerana ia dibuat tergesa-gesa dan tidak menyeluruh, malah tidak memenuhi aspirasi rakyat Sarawak.

Michael Tiang – Gambar fail

Tiang berkata, Kerajaan PH perlu menghentikan permainan tuduh-menuduh, sebaliknya perlu mengambil kira aspirasi rakyat Sarawak dan Sabah dengan memberi masa mencukupi untuk perundingan melalui pelbagai jawatankuasa yang telah diwujudkan.

Beliau yang turut menyaksikan persidangan berkenaan di Dewan Rakyat berkata, beliau bangga dengan semangat dan kesungguhan ahli parlimen GPS yang cuba melindungi hak dan kepentingan Sarawak dan rakyatnya.

“Saya mempersoalkan keikhlasan kerajaan PH. Sebelum anda memanggil ahli parlimen GPS pengkhianat, tengok muka anda sendiri ke dalam cermin terlebih dahulu tentang apa yang sebenarnya salah,”’ katanya.

“Kita perlu lebih berhati-hati sekarang, kerana kita pernah diperdaya sebelum ini,” tegas Tiang.