KUCHING: Kerajaan Sarawak telah menyediakan peruntukan sebanyak RM16 juta menerusi pemberian Geran Tahunan Khas (GTK) berjumlah RM5,000 kepada setiap lnstitusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, YB Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini merupakan satu perkembangan yang baik dan mendapat sambutan daripada operator taska dan tadika di Sarawak.

Menurutnya, tujuan sebenar projek GTK IPAKK adalah berfokuskan pemakanan yang sihat dan seimbang, ‘fun-learning’, pendigitalan asuhan dan bimbingan kanak-kanak, penglibatan ibu-bapa dan kompetensi guru dan pengasuh.

“Keempat-empat fokus tersebut adalah elemen yang sangat penting dalam aspek pendidikan awal kanak-kanak sekali gus membantu untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh IPAKK.

“Anak-anak yang dididik dengan cara berkualiti diyakini memiliki asas kecemerlangan untuk kualiti yang tinggi”, katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Gambar fail

Dato Sri Fatimah menamnah, bagi GTK, setiap IPAKK yang telah berdaftar perlu mengemukakan permohonan kepada kementeriannya sepertimana yang telah ditetapkan dalam garis panduan.

Jelas beliau, bagi taska atau tadika yang berada di pedalaman Sarawak, mereka dibenarkan untuk menghantar borang permohonan sama ada melalui penghantaran pos atau email.

“Kita ambil maklum akan keberadaan mereka, dan dengan cara ini, ini akan memudahkan mereka untuk menghantar permohonan dengan lebih cepat kepada Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak (BPAKS).

“Selain itu, kita tidak akan jadikan keberadaan sesebuah taska atau tadika menjadi penghalang untuk mereka mendapatkan faedah daripada kerajaan Sarawak,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kementeriannya membuat kajian dan perbincangan untuk melihat perancangan KEMAS supaya semua kanak-kanak di Sarawak tidak ketinggalan untuk mendapatkan pendidikan awal sama ada di kawasan bandar atau di pedalaman.

Katanya, menerusi GTK, pihaknya bukan sahaja akan menggalakkan lagi penubuhan taska atau tadika di Sarawak, namun dapat memastikan kesinambungan dan komitmen taska atau tadika yang sedia ada untuk terus berkembang dari segi kualiti pembelajaran kanak-kanak, kebolehan pengajar dalam pengajaran dan keyakinan ibu-bapa terhadap pembangunan pendidikan awal kanak-kanak.

“Sehubungan itu, saya berharap insentif GTK akan memberi manfaat kepada setiap IPAKK demi perkhidmatan yang lebih efisien.

“Ini pasti meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak yang diharap akan melahirkan generasi yang cemerlang pada masa depan,” ujarnya.

Dato Sri Fatimah menambah, Sarawak mempunyai peratusan yang membanggakan iaitu sebanyak 94 peratus kanak-kanak di darjah satu tahun ini telah mendapat pendidikan awal kanak-kanak sama ada di taska atau tadika.

“Kita juga akan melancarkan Child Care Centre di seluruh Sarawak dan permulaannya sudah dilancarkan di Sarawak Energy Berhad(SEB) bagi memudahkan ibu bapa yang bekerja menghantar anak mereka di tempat yang selamat,” katanya.