KUCHING: Kementerian Pendidikan Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak (MESTR) berharap agar masalah sekolah daif di negeri ini dapat diatasi segera.

Menterinya, YB Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, keengganan Kerajaan Pusat  meluluskan “contra loan” menyukarkan MESTR untuk menaik taraf sejumlah 1,020 sekolah daif di Sarawak.

“Kita berharap supaya perkara berhubung masalah sekolah daif di negeri ini dapat diatasi bagi memastikan anak-anak dan warga pendidik menikmati kemudahan yang lebih selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Kursus Pengkhususan Pengetahuan Kandungan Pedagogi Guru Matematik Sekolah Rendah 2019 di sini semalam.

Kursus tersebut dianjurkan serentak di seluruh Sarawak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak melibatkan Zon Utara, Zon Tengah dan Zon Selatan pada 10 hingga 12 April 2019.

Objektif kursus itu adalah untuk meningkatkan pengetahuan pedagogi guru Matematik bukan opsyen selari dengan pembelajaran abad ke-21.

Ia juga bagi meningkatkan kemahiran guru dalam pentaksiran bilik darjah dan peperiksaan pusat dan sasaran 100 peratus murid mencapai Tahap pengusaan 3 dan ke atas dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Matematik.

Dato Sri Michael Manyin dalam pada itu menegaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi penekanan lebih kepada keperluan sekolah rendah kerana pendidikan perlu bermula dari peringkat sekolah rendah.

“Misalnya di Jepun, kerajaan di negara berkenaan ternyata memberi keutamaan kepada murid-murid dari darjah 1 hingga tingkatan 3.

“Malah di Finland, cikgu yang mengajar sekolah rendah perlu memiliki Ijazah Sarjana (Master),” katanya.