KUCHING: Kerjasama strategik antara Kerajaan Sarawak dan Huawei Malaysia diperkukuhkan lagi dengan pemeteraian Memoradum Persefahaman (MoU) bersama dengan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

CENTEXS dan SMA adalah di bawah Kerajaan Sarawak untuk mereka meneruskan sokongan Agenda Transformasi Digital Negeri khusus dalam pembangunan bakat digital dan inovasi digital.

MoU tersebut telah ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani bersama Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman dan Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak mewakili Kerajaan Sarawak.

Manakala menandatangani bagi pihak Huawei Malaysia ialah Oliver Liu, XuChengxin dan Pengarah Huawei OpenLab Linxijiang sambil disaksikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Berucap pada majlis menandatangani MoU tersebut, Abang Johari berkata ekonomi digital Sarawak adalah penting untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat Sarawak.

Ia katanya, sentiasa menjadi misi strategik Sarawak untuk mengasah bakat tempatan dan melengkapkan mereka dengan bukan sahaja yang perlu tetapi kemahiran teknologi ICT yang terkini.

“Menerusi penubuhan Akademi Digital CENTEXS, dengan program digital akan datang oleh CENTEXS dan Huawei, kami yakin bahawa masa depan bakat digital ICT adalah terjamin untuk menyokong visi ekonomi digital dan status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada rakan strategik untuk menyokong transformasi ekonomi digital Sarawak, Huawei akan fokus kepada membawa teknologi dan pengetahuan ICT terkini yang diperlukan untuk menyokong inisiatif seperti bandar pintar, bangunan pintar, pendidikan pintar dan sebagainya.

Seperti yang tertera dalam MoU, Huawei akan turut serta sebagai satu daripada rakan utama kepada makmal Pusat Kecemerlangan (CoE) untuk sama-sama menjalankan kajian dan penyelidikan serta pembangunan bagi penyelesaian bijak digital dengan universiti tempatan.

“Sebagai peneraju dalam teknologi ICT, kami gembira menjadi rakan kerjasama Sarawak sekali lagi susulan kejayaan fasa pertama program makmal digital Huawei CENTEXS.

“Kami mempunyai pengalaman bekerja dengan lebih 170 negara dan kami yakin kerjasama ini akan terus menyumbang kepada merealisasikan visi Sarawak mencapai agenda transformasi ekonomi digitalnya,” kata Ahli Eksekutif Lembaga Penasihat, Pengarah Infrastruktur ICT Pejabat Lembaga Pengurusan Huawei Li Dafeng.

Pada 2017, Huawei Malaysia dan Kerajaan Sarawak telah menandatangani MoU untuk melantik peneraju ICT global sebagai rakan strategik dalam membangunkan infrastruktur ICT negeri.

Minggu lepas, dua pihak ini melancarkan makmal latihan digital pertama di Kuching dan Asia Tenggara untuk mempersiapkan belia Sarawak bagi masa depan digital.