BETONG: Kerajaan Sarawak giat membangunkan negeri ini dengan menyediakan ekosistem pasaran perniagaan yang baik agar segala sumber dapat digunakan untuk memajukan Sarawak sebagai kuasa ekonomi dunia.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ianya bermula dengan pembangunan infrastruktur yang pesat dan pembangunan sumber yang ada.

“Kita dapat lihat di Betong, estet perindustrian telah dimulakan pembinaannya dan juga akan dibangunkan Estet Perindustrian di mana ianya menyediakan kemudahan infrastruktur kepada usahawan yang ingin bergiat di dalam industri kecil dan sederhana.

“Kita juga perlu tekadkan semangat untuk sama terlibat dengan mengambil iktibar dari Jepun selepas perang dunia, tanpa banyak sumber namun atas kegigihan kini menjadi kuasa ekonomi dunia, begitu juga China dari negara miskin pada tahun 60an kini bangkit sebagai kuasa ekonomi ke-2 besar di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Simposium Usahawan Kontraktor Siri 7 Anjuran Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan di Dewan Layar, Pejabat Daerah Betong semalam.

Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan juga menyatakan Anjung Usahawan yang kini telah beroperasi di Betong adalah konsep yang diusahakan untuk membantu usahawan kecil bumiputera.

Katanya, banyak agensi kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan yang membantu usahawan kecil seperti TEKUN, AgroBank dan lain-lain bagi membantu dan menyokong penglibatan Bumiputera dalam bidang perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Dengan segala komitmen yang diberikan ini seperti pembukaan kampus sementara CENTEX di Betong, pelbagai kemahiran dapat dipelajari.

“Justeru kita memerlukan golongan usahawan Bumiputera ini mempersiap diri, termasuk memanfaatkan cara moden dan teknologi baharu dalam e-commerce untuk menjayakan perusahaan yang mereka ceburi,” ujarnya.