Sunday, June 13, 2021

20 penempatan Orang Asli jadi kampung angkat oleh 10 GLC

Mesti baca

TAPAH: Sekurang-kurangnya 20 perkampungan Orang Asli dijadikan sebagai kampung angkat oleh 10 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kerajaan negeri Perak, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata program yang dilancarkan oleh kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) selepas pilihan raya umum tahun lalu adalah bagi menggerakkan pembangunan sosioekonomi dan pendidikan secara holistik dalam kalangan masyarakat tersebut.

Justeru, beliau meminta syarikat GLC terbabit dalam program itu supaya mengadakan program sepanjang tahun bagi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli di perkampungan tersebut dan bukan mengadakan program sekali sahaja atau bermusim.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Menteri Besar Perak Santuni Masyarakat Orang Asli pada Program Kampung Angkat Orang Asli Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) di Kampung Sungai Cincin di Chenderiang, dekat sini, hari ini.

Beliau, yang juga juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, berkata program kampung angkat oleh syarikat GLC itu kini menarik perhatian syarikat swasta tempatan dan antarabangsa untuk menjejak langkah itu.

Dalam pada itu, Tok Batin Kampung Sungai Cincin, Panjang Aris Wok berkata, sejak MB Inc menjadikan kampung itu sebagai kampung angkat pada Februari lalu, pelbagai usaha telah dilakukan bagi menaik taraf ekonomi masyarakat di situ.

“Pelbagai kemudahan diberikan seperti mana anak-anak atau kaum wanita yang nak belajar MB Inc bantu, contohnya latihan kemahiran seperti kelas menjahit, bakeri dan kecantikan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MB Inc., Anuar Zainal Abidin berkata, menerusi program itu, pihaknya akan memberi fokus kepada pembinaan dan pembangunan modal insan dalam kalangan Orang Asli menerusi tiga bidang utama iaitu pendidikan, sukan dan pemerkasaan wanita.

“Diharapkan segala usaha dijalankan itu dapat mendatangkan impak positif kepada tahap sosioekonomi masyarakat di kampung berkenaan,” katanya.

— BERNAMA

Secara Rawak

Artikel Terbaru