Pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan tujuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia menjadi topik hangat di Sarawak dalam beberapa hari kebelakangan ini. Perkara 1 (2) dalam perlembagaan iaitu berkaitan dengan Nama, Negeri-Negeri dan wilayah-wilayah Persekutuan. Usul yang kali kedua dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gagal mendapat sokongan 2/3 majoriti ahli dewan rakyat.

Usul yang telah diperbaiki serta diubah selaras mengikut Part II Article 4 (2) dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak mendapat sokongan dan dukungan daripada majoriti ahli parlimen pembangkang termasuk ahli parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS). Rata-rata pemimpin pembangkang mengambil inisiatif berkecuali apabila undian secara belah bahagi diadakan. Kenapa ahli parlimen pembangkang mengambil pendirian untuk berkecuali dalam usul ini? Apakah sebab serta pendirian ahli parlimen pembangkang terutama ahli parlimen dari GPS mengambil pendirian berkecuali dalam usul RUU ini?

Pindaan yang dilakukan didakwa tergesa-gesa oleh kebanyakkan ahli parlimen pembangkang termasuk Sabah dan Sarawak harus dilakukan secara holistik dan substantif agar ia benar-benar mencerminkan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak. Usul yang turut dibahaskan oleh seramai 46 orang ahli parlimen ini jelas perlu dilakukan dengan lebih teliti agar ia memberi menafaat kepada seluruh pemegang taruh dalam penubuhan Malaysia. Malahan, gesaan bertubi-tubi daripada ahli parlimen kerajaan dari Sabah dan Sarawak sebelum ini agar semua ahli parlimen dari kedua-dua buah negeri memberi sokongan kepada pindaan Perkara 1 (2) dalam perlembagaan persekutuan yang dikatakan dapat mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia ternyata tidak membuahkan hasil. Terma-terma yang ingin dipinda seharusnya di perhalusi terlebih dahulu agar ia jelas dan menggambarkan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak menjadi keutamaan para ahli parlimen pembangkang dari Sabah dan Sarawak.

Namun begitu, kredit harus diberikan kepada kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH) dalam menongkah era baharu Malaysia kerana berani kehadapan dengan mengemukakan cadangan pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan. Bacaan kali kedua yang dibacakan oleh Perdana Menteri jelas menyatakan bahawa pindaan tersebut memberi makna kepada usaha mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Namun apa yang penting, maksud rakan kongsi tersebut harus diterjemahkan sebaik-baiknya dalam pindaan yang ingin dilakukan dengan menulis maksud tiga entiti yang menubuhkan Malaysia selepas Singapura keluar daripada Malaysia pada tahun 1965. Ini penting kerana, perlembagaan merupakan satu dokumen yang menjadi panduan kepada kerajaan dalam menguruskan sesebuah negara. Penjelasan yang tepat perlu diterjemahkan dalam dokumen bertulis seperti Perlembagaan agar tiada kekeliruan pada masa hadapan terhadap entiti yang menubuhkan Malaysia.

Dalam menongkah arus penubuhan Malaysia, Sabah dan Sarawak memainkan peranan yang sangat signifikan bagi memastikan negara bernama Malaysia lahir pada tahun 1963. MA63 merupakan dokumen yang diiktiraf pihak antarabangsa bagi mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara. Ini merupakan salah satu elemen yang amat penting bagi membentuk sesebuah negara. Takrifan Persekutuan dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan sepatutnya perlu di rujuk serta dipinda balik agar ia dapat menjelaskan konsep federalisme yang diamalkan oleh Malaysia. Persoalannya, adakah sistem federalisme yang diamalkan di negara kita ini menggambarkan roh sebenar MA63? Persoalan ini perlu dirungkai bagi memastikan konsep federalisme yang diamalkan selama ini dapat merealisasikan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia.

Malahan, 20 perkara untuk Sabah dan 18 perkara untuk Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan juga harus diteliti balik agar ia betul-betul mencerminkan apa yang terkandung dalam MA63. Perkara yang penting begini jangan dipolitikan. Semua pemimpin harus bersatu tidak kira ideologi politik bagi merealisasikan pengembalian status Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63. Semangat Malaysia Baharu yang dijulang kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus menerajui perubahan dalam inisiatif untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak yang telah lama terhakis.

Apa pun, inisiatif kerajaan PH untuk meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan harus dihargai kerana kerajaan baharu ini berani untuk melihat ke hadapan berkenaan dengan nasib rakyat Sabah dan Sarawak. Apa yang penting, perincian terma-terma pindaan yang ingin dilakukan harus jelas dan bersifat komprehensif agar memenuhi aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak. Semoga inisiatif begini tidak dihentikan kerana gagal pada kali ini tetapi ia menjadi sandaran kepada kerajaan PH untuk membaiki terma-terma yang betul-betul mencerminkan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia.

Penulis merupakan penganalisis politik serta pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.