KUCHING: SarawakPay telah menjalin kerjasama dengan UnionPay International dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Shanghai pada 3 April lalu.

MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi SiliconNet Technologies Sdn Bhd (SNT) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain dan Naib Presiden UnionPay International Wang Lixin.

Majlis disaksikan Ketua Menteri Sarawak YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Pengerusi China UnionPay Shao Fujun.

“Semasa saya masih menyandang jawatan Menteri Pelancongan, saya sudah mengetahui bahawa UnionPay merupakan sebuah jenama antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata Sarawak amat bertuah kerana mendapat kerjasama daripada UnionPay terutama dalam usaha menjadikan negeri ini ke arah ekonomi digital.

Kerajaan Sarawak juga sedang berusaha bekerjasama dengan UnionPay menerusi pembangunan FinTech.

Sebagai sebahagian daripada usaha ke arah ekonomi digital, kerajaan sedang mentransformasikan seluruh negeri sebagai ekonomi yang tidak menggunakan wang.

Pada masa yang sama, mentransformasikan Kuching sebagai sebuah hab kewangan di wilayah ini.

“Oleh itu, kami memerlukan sistem membuat pembayaran antarabangsa seperti UnionPay bagi membantu membangun dan mentransformasikan ia,” katanya.

Turut hadir delegasi Sarawak yang terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) YB Abdullah Saidol, Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) Dr Zaidi Razak, Pengarah Urusan SiliconNet Technologies Sdn Bhd Dr Anderson Tiong Ing Heng.