Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau yang akan diadakan hujung minggu ini iaitu pada 13 April. PRK ketujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan menyaksikan persaingan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional, Mohamad Hassan, calon PKR, Dr Streram dan dua lagi calon bebas iaitu suri rumah R Malarvizhi dan pensyarah, Mohd Nor Yassin.

Dalam pada itu, tempoh berkempen bagi keempat-empat calon ini hanya berbaki lagi empat hari sahaja. Dalam tempoh berkempen pastinya setiap parti akan memanfaatkan sebaik-baiknya peluang ini sebagai platform utama untuk mendapatkan sokongan dan dorongan rakyat di Rantau.

Sementara itu, dalam laporan Berita Harian pada hari ini (8 April), calon PKR, Dr Streram ada melahirkan rasa keinginannya untuk melihat Tun Mahathir turun membantu dirinya berkempen di PKR Rantau. Tetapi kita tidak pasti sama ada baki empat hari ini mampukah hajat Dr Streram ditunaikan oleh Tun Mahathir.

Namun apa yang pasti sepanjang tempoh berkempen ini jelas dapat kita lihat Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Mahathir dan pemimpin tertinggi PPBM masih tidak menunjukkan muka sehingga ke hari ini. Malah Muhyiddin Yassin juga dikhabarkan sehingga kini masih belum turun berkempen.

Keadaan ini jelas berbeza semasa kempen di Semenyih tempoh hari di mana boleh dikatakan hampir setiap hari Tun Mahathir dan barisan tertinggi PPBM berkampung di Semenyih untuk membantu Aiman Zainali berkempen. Pada ketika itu juga, barisan tertinggi PKR, Anwar Ibrahim turut sama-sama membantu Aiman Zainali berkempen.

Jadi persoalannya, adakah Tun Mahathir dan pemimpin tertinggi PPBM cuba memboikot kempen PRK Rantau?

Sedangkan Anwar Ibrahim boleh turun berkempen untuk membantu calon PPBM berkempen di PRK Semenyih tempoh hari, kenapa tidak Tun Mahathir melakukan perkara yang sama? Persoalannya lagi, apakah yang membuatkan Tun Mahathir dan pemimpin tertinggi PPBM begitu ‘liat’ untuk turun membantu calon PKR berkempen di PRK Rantau?

Sedangkan dari fasa pencalonan lagi Tun Mahathir sudah heboh menyatakan sokongannya terhadap Dr Streram, tetapi hakikatnya sehingga kini masih tiada sebarang tindakan yang benar-benar menunjukkan Tun Mahathir memberi sokongan seratus peratus terhadap Dr Streram. Bagi saya sokongan yang hanya terucap di bibir ini tidak membuktikan apa-apa melainkan ada tindakan susulan.

Jadi berbaloikah penantian Dr Streram?

Dalam pada itu, jika dilihat semula harapan Dr Streram sangat tinggi disandarkan kepada Tun Mahathir untuk membantu dirinya berkempen. Keadaan ini seolah-olah menggambarkan bahawa Dr Streram sedang buntu untuk mencari jalan memenangi hati rakyat di Rantau.

Jika tidak kenapa sehingga hari ini, Dr Streram masih mengharapkan ‘talian hayat’ dari Putrajaya untuk membantu dirinya berkempen? Apa-apapun berbaki empat hari ini sama-samalah kita tunggu dan lihat sahaja sama ada Tun Mahathir mendengar suara hati Dr Streram ataupun tidak.

Dhia Hani
Persatuan Pemikir Muda Johor