KUCHING: Orang ramai  melihat episod menyayat hati di sebatang jalan di sini semalam apabila seorang abang memangku adik lelakinya yang cedera parah di kepala kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Motosikal yang dinaiki mereka hilang kawalan di Batu 27, Jalan Lama Kuching-Serian kira-kira 11.15 pagi.

Nyawa Mohd Jap Junaidi, 22 melayang dalam kejadian itu akibat kecederaan parah di kepala.

Abangnya, Jeffery Junaidi, 24, hanya luka kecil di kaki kanan.

Kedua-dua mereka tidak memakai topi keledar waktu kejadian.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superitenden Alexson Naga Chabu, adik-beradik berkenaan berasal dari Kampung Lintang Baru, Jalan Kuching-Serian.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kanan kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik dari Hospital Serian,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, seorang guru menemui ajalnya apabila kereta yang dinaikinya menjunam ke dalam sungai di Kampung Terasik, Sadong Jaya, Isnin.

Guru berkenaan, Ainul Khaliza Bolhi, 38, yang mengajar di SMK Sadong Hilir hilang kawalan kereta yang dipandunya sekitar 1.15 petang, sebelum ia menjunam ke dalam sungai.