Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan amat penting bagi Sarawak dan Sabah bagi memastikan status asalnya dikembalikan. Justeru, istilah atau perkataan yang digunakan dalam pindaan itu amat penting.

Sesungguhnya, sesuatu perkataan dalam perlembagaan mempunyai makna mendalam dan sebagai undang-undang tertinggi dalam negara, sebarang pindaan yang dilakukan perlu mempertimbangkan kesannya terhadap pihak terbabit.

Hakikatnya, tujuan utama pindaan dibuat adalah untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak ke kedudukan asal.

JENIRI AMIR

Maksudnya, sama seperti pada 1963 ketika Malaysia dibentuk, dan juga seperti sebelum pindaan dilakukan terhadap Perkara 1(2) pada 1976 yang menyebabkan statusnya diturunkan menjadi satu daripada 13 negeri di Malaysia.

Kepentingan dan implikasi pindaan berkenaan harus  difahami rakyat Sarawak.

Untuk itu, perkataan seperti ‘mempunyai status sama’ dengan Persekutuan Tanah Melayu atau Semenanjung Malaysia perlu dimasukkan. Ia perlu dinyatakan secara tersurat, bukannya tersirat bagi mengelakkan sebarang perbalahan kemudian hari.

Sebarang pindaan mempunyai kesan yang panjang dan mendalam terhadap sosiopolitik dan masa depan negara.

Kita perlu mengelak daripada sebarang salah faham, apatah lagi konflik dan perbalahan yang berpanjangan kerana ini merugikan semua pihak.

Pada tahun ini kita meraikan ulang tahun ke-56 pembentukan Malaysia apabila Sabah, Sarawak, Singapura dan  Semenanjung Tanah Melayu bersetuju membentuk persekutuan Malaysia.

Bukan semua negara yang mengamalkan sistem persekutuan berjaya. Apakah rahsia di sebalik kejayaan negara ini terus bersatu meskipun Singapura dikeluarkan daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965?  Hakikatnya, pada peringkat awal memang wujud masalah antara kerajaan Sabah atau Sarawak dengan kerajaan persekutuan.

Benar, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai etnik, negeri dan wilayah.

Namun, pada amnya Sabah dan Sarawak dalam Malaysia semakin maju, makmur dan sejahtera. Kedua-dua negeri itu dapat berdiri sama tinggi dengan sebahagian negeri lain di negara ini, menepati hasrat asal pejuang dan pemimpin politik terbabit.

Kejayaan Persekutuan Malaysia dimungkinkan oleh persamaan dan toleransi sosiobudaya masyarakat pelbagai etnik, baik dari segi bangsa, bahasa  mahupun agama, telah mendorong ke arah penggabungan wilayah menjadi negara persekutuan yang berjaya.

Sikap tolak ansur itu penting kerana di Sabah dan Sarawak sahaja terdapat sekitar 60 suku kaum yang berbeza keturunan, kepercayaan, bahasa, agama dan budaya.

Perjanjian Malaysia yang termaktub di bawah Perkara 165 Perlembagaan Persekutuan turut memasukkan tuntutan Sabah, yang kemudiannya diikuti Sarawak yang dikenali sebagai Perjanjian 20 dan 18 Perkara meliputi antara lain isu agama, bahasa, kewangan, hak bumiputera Sabah dan Sarawak, dan imigresen.

Adakah Perjanjian Malaysia disuratkan dalam pindaan itu? Hal ini penting kerana tanpa perjanjian bersejarah itu, tidak akan ada Malaysia yang kita kenali pada hari ini.

Tujuannya adalah untuk melindungi autonomi dan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.

Sesungguhnya, perlembagaan yang menjamin kedaulatan kuasa autonomi kerajaan negeri dan terdapatnya imbangan kuasa adalah antara faktor survival persekutuan Malaysia. Kedudukan Sabah dan Sarawak dijamin di bawah Perlembagaan Malaysia.

Pindaan hanya boleh dilakukan hanya dengan persetujuan Yang Dipertua Negeri. Maksudnya, Parlimen tidak boleh meminda kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak.

Kesediaan Kerajaan Persekutuan menghormati perjanjian terbabit amat dituntut bagi memungkinkan terjalin hubungan harmoni antara kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan. Sebenarnya, sebahagian daripada inti pati  dan semangat dalam perjanjian tersebut telah tidak lagi relevan.

Kerajaan pusat dan negeri perlu berganding bahu bagi memastikan matlamat penubuhan Malaysia dapat dicapai. Pemimpin Pakatan Harapan perlu berusaha untuk memenuhi aspirasi penduduk pelbagai etnik di  Sarawak.
Hubungan stabil, harmoni dan saling menghormati antara kedua-dua negeri dengan kerajaan pusat amat penting bagi memastikan sistem persekutuan menjadi lebih bermakna.

Tidak boleh dinafikan Sabah dan Sarawak menikmati banyak manfaat di bawah sistem persekutuan. Kemajuan dalam semua bidang tercapai termasuk ekonomi, prasarana, politik, kesihatan, pendidikan dan pelancongan. Dalam tempoh 56 tahun jurang antara Sabah dan Sarawak, jurang antara kaum, dan jurang antara bandar dengan luar bandar semakin dapat dirapatkan walaupun hakikatnya, masih banyak ruang untuk terus memperbaikinya.      

Justeru, segala langkah perlu diambil bagi mengelak  kegagalan dan perpecahan persekutuan itu. Sebaliknya, rasa perpaduan dan integrasi dalam kalangan rakyat dan wilayah perlu terus diperkukuh.

Keazaman politik berpaksikan keikhlasan dalam perhubungan di bawah konsep politik federalisme amat perlu diutamakan. Sehubungan itu, dalam tempoh 56 tahun, keharmonian hubungan antara negeri dan pusat, terutama antara Sabah atau Sarawak dengan Kuala Lumpur/Putrajaya adalah disebabkan oleh  kebijaksanaan, kenegawaranan dan kepemimpinan yang mengutamakan agenda nasional daripada agenda negeri atau peribadi.

Mereka memahami hakikat bahawa untuk memastikan konsep federalisme berjaya, mereka perlu bertolak ansur dalam setiap perundingan dan pentadbiran bagi memastikan sistem persekutuan dapat terus bertahan dan diperkukuh.

Semangat regionalisme yang sempit perlu dikikiskan. Sebaliknya, sesuai dengan perubahan zaman, semua rakyat di Malaysia perlu diberi peluang untuk bergerak bebas di negara ini.

Semangat perpaduan dan keharmonian antara etnik dan wilayah perlu diperkukuh di bawah panji negara persekutuan.

Kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian serius terhadap masalah, tuntutan dan aspirasi  lebih daripada enam juta penduduk di Sabah dan Sarawak.

Maka, peruntukan yang lebih besar, khususnya untuk pembangunan luar bandar dan masyarakat minoriti yang terpinggir perlu disalurkan ke Sabah dan Sarawak.  

Hanya dengan itu, Malaysia yang menjadi impian pejuang kemerdekaan dan pembentukan Malaysia 56 tahun lalu akan lebih bererti.

Dalam konteks itu jugalah, maka urusan berkaitan dengan pindaan perlembagaan membabitkan status Sabah dan Sarawak perlu ditangani dengan berhemah dan bijaksana, bukannya dengan emosi dan sentimen melulu.

Penulis ialah Pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak